Monday, 24 December 2012

PAS Dan UMNO Bersaudara Dalam Agama


PAS DAN UMNO BERSAUDARA DALAM AGAMA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
UMNO dan PAS tidak perlu berhenti bersaing jika persaingan mereka itu bertujuan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Persaingan untuk memberikan khidmat adalah persaingan yang sihat dan memberikan kebaikan untuk negara. Tidakkah kita lihat bahawa kewujudan persaingan di pasaran membolehkan orangramai mendapat barangan yang lebih berkualiti. Sementara monopoli tanpa saingan akan merosakkan kualiti khidmat dan merugikan orang awam.
Persaingan PAS dan UMNO jika atas dasar ingin menawarkan khidmat yang lebih baik, bukan kerana dendam dan permusuhan yang lahir dari politik kepuakan, akan memakmurkan masyarakat muslim secara khusus dan negara secara amnya. Jika persaingan itu atas slogan yang Allah firman (maksudnya) “Bersegeralah kepada kebaikan”(Surah al-Maidah, 48) maka ia menjadi pahala kebajikan untuk semua pihak yang terlibat.
Saingan Politik
Seperti yang selalu ditegaskan, pada asalnya, Islam tidak suka perasaan tamakkan jawatan tanpa sebab yang berasas yang Allah redha. Keinginan mendapatkan kedudukan politik untuk kepentingan diri atau sebagai kebanggaan adalah dilarang dalam agama ini. Ini jelas daripada hadis-hadis, antaranya sabda Nabi s.a.w:
“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Baginda juga pernah menasihati `Abd ar-Rahman bin Samurah:
“Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam melihat kerakusan inginkan jawatan disebabkan perasaan sukakan kedudukan dan nama hanya akan menambahkan penyesalan di akhirat dan melemahkan jawatan itu sendiri. Namun dalam masa yang sama, seseorang boleh berusaha mendapatkan jawatan politik jika dia merasakan dia dapat memberikan khidmat yang lebih baik daripada orang lain. Ini seperti yang al-Quran ceritakan tentang permintaan Nabi Yusuf a.s : (maksudnya) Yusuf berkata:
“Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Yusuf, 55-56).
Kata Ibn Taimiyyah rh (meninggal 728H):
“Nabi Yusuf meminta jawatan kepimpinan untuk kebaikan agama, itu bukan sesuatu yang menyanggahi pergantungan kepada Allah, tidak juga termasuk dalam pemintaan jawatan yang dilarang” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 8/68, Riyadh: Maktabah al-Abikan)
Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) mengulas ayat ini:
“..demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Saling Memerlukan
Persaingan PAS dan UMNO adalah sesuatu yang baik jika mengujudkan keadaan ‘check and balance’ antara penguasa dan rakyat. Ia akan menghidupkan suasana amar makruf dan nahy munkar (promoting good and forbidding evil). Tindakan pemerintah akan diteliti oleh pembangkang dan tindakan pembangkang adalah mewakili kemaslahatan rakyat. Maka wujudlah pemerintah yang berkualiti dan pembangkang yang bermanfaat. Keduanya membawa kebaikan kepada rakyat dan keduanya berlumba-lumba untuk mencari pahala dalam lapangan politik.

Saya masih ingat, pernah semasa saya berbual bersendirian dengan Tun Abdullah Badawi di London, beliau menyebut: “UMNO memerlukan PAS. Kewujudan PAS menjadikan UMNO sentiasa beringat dengan tindakan mereka. Tanpa PAS, UMNO akan terlupa dan tidak berhati-hati terutama berkaitan Islam”. Saya percaya itu ucapan yang bukan atas kepentingan politik. Dalam persada politik Malaysia, menghapuskan persaingan antara PAS dan UMNO bukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan umat. Bahkan itu boleh menjurus ke arah monopoli, kerakusan, bertambah berleluasanya rasuah, hilangnya sifat berhati-hati dalam tindakan dan pelbagai lagi.
Apa Yang Perlu Dihapuskan?
Malangnya, hal ini kadang-kala tidak berlaku. Persaingan politik dikendalikan atas kepentingan diri ataupun puak, bukan untuk kepentingan rakyat lagi. Perlumbaan melakukan kebaikan itu dipadamkan oleh banyaknya perlumbaan menghapuskan pesaing politik. Berlakunya manipulasi isu dari kedua belah pihak. Kedua pihak akhirnya menerima padah; maruah dan nilai tercemar. Kelantan yang dikuasai PAS telah menjadi mangsa buli sekian lamanya. Hal yang sebaliknya juga berlaku apabila segala tindakan pemimpin UMNO jarang dinilai positif oleh PAS. Politik prasangka memenuhi ruang. Kerakusan kuasa dan harta meruncingkan lagi permusuhan itu.
Persaingan yang bertujuan untuk menggalakkan kebaikan dan menghalang keburukan bertukar menjadi persaingan yang membawa keburukan dan menghalang kebaikan. Media kerajaan yang menggunakan wang rakyat hanya diberi ruang kepada satu pihak sahaja untuk mencerca pihak yang lain semahunya. Idea-idea politik dan pembangunan dari pihak yang bersaing tidak mendapat ruang yang adil dalam media kerajaan. Padahal, jika niat benar-benar untuk pembangunan rakyat, apa salahnya idea-idea baik itu didengari oleh rakyat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan sekalipun dari pembangkang. Namun itu tidak berlaku. Politik idea dibunuh oleh politik permusuhan puak dan peribadi. Dalam masa yang sama, ceramah dan ucapan pembangkang juga banyak yang bukan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas, tetapi lebih kepada menyerang keburukan-keburukan peribadi pihak lain. Sedaya mampu hanya untuk mencari salah dan silap, sekalipun dalam perkara peribadi orang lain. Seakan mesejnya; ‘pilihlah kami, kerana mereka lebih buruk dari kami’. Sepatutnya, ‘pilihlah kami kerana kami dapat menawarkan servis yang lebih baik’.
Sikap dan pendekatan yang seperti ini patut dihapuskan. Sikap yang lebih rasional dan insaf perlu disuburkan.
Di Sebalik Lambang
Dalam UMNO dan PAS, ramai yang menilai pihak yang lain berdasarkan warna parti. Warna itu pula telah diberikan pelbagai persepsi permusuhan politik yang diapi-apikan oleh pelbagai keadaan dan pihak. Seakan, tiada lagi kebaikan yang boleh diharapkan di pihak yang satu lagi.
Hakikatnya, di sebalik nama dan lambang parti masing-masing, ahli-ahli PAS dan UMNO adalah muslim. Kehidupan ini bukan segalanya politik. Ya, ada muslim yang baik dan ada yang tidak mengamalkan agamanya. Sementara yang kuat beragama itu pula, bukan semestinya dia berjaya menghayati agama dalam setiap aspek. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Hal ini terpakai untuk semua orang tanpa mengira parti. Parti bukan agama. Parti mungkin berperanan dalam menggerakkan satu juzuk dari kehidupan bermasyarakat dalam negara ini. Orang PAS dan UMNO ada yang baik dan takutkan Allah. Ada yang cuba sedayanya mengamalkan agama apa yang mereka faham. Ada juga yang tidak pedulikan agama, ataupun mempergunakan agama. Berserban dan bersongkok bukan jaminan kebaikan untuk sentiasa dilakukan.
Bukan semua orang UMNO jahat, bukan semua orang PAS baik. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak lahir atas lambang parti. Mereka kebanyakan lahir sebagai orang muslim. Mereka mengakui Islam sebagai agama mereka. Allah menamakan mereka semua muslimin, sebelum mereka itu dikaitkan dengan nama parti mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. DIAlah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya); dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung kesusahan dalam agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: ‘muslimin’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi untuk kamu, dan supaya kamu pula menjadi saksi untuk umat manusia. Maka, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj, 78).
Kita Bersaudara
Tidak menjadi masalah bersaing dalam politik. Tidak menjadi masalah juga bercita menukar kerajaan atau mengekalkannya. Namun, antara orang PAS dan UMNO, di sebalik tembok parti, mereka kena ingat mereka saudara seagama. Banyak perkara dalam kehidupan ini yang mereka berkongsi perkara yang sama. Mereka percaya pada Allah yang sama, Nabi yang sama, al-Quran yang sama dan seterusnya. Banyak perkara pokok dan asas yang mereka sama dibandingkan perkara yang mereka berbeza. Walaupun pada juzuk politik mereka berbeza, mereka wajib menghormati hak sebagai saudara muslim dalam kehidupan ini. Perbezaan parti tidak boleh menghalang mereka dalam masa yang sama untuk kasih saudara seagama. Tidak wajar menghalang mereka untuk duduk berbincang dan berpakat perkara yang mereka sama-sama imani. Tidak wajar menghalangi mereka memberi salam dengan jujur dan melahirkan ukhuwwah islamiyyah tanpa dikaitkan dengan soal perbezaan pendekatan politik.

Gambar Hiasan
Sesiapa yang bersahabat dengan kedua pihak, akan menemui kebaikan yang wujud di kedua belah pihak. Mungkin kita tidak setuju dengan lambang tertentu, namun dalam kehidupan bukan semua yang disandarkan dengan lambang tertentu itu sentiasa seiras dengan lambangnya. Sesiapa yang taklid buta dengan menganggap segala yang dibuat oleh partinya benar bererti dia telah memaksumkan partinya. Sesiapa yang mengikut dan bersetuju dengan segala yang baik dan buruk dalam partinya bererti dia bagaikan kaldai yang tidak mampu menilai.
Maka, apabila seorang muslim dari PAS atau UMNO menghulurkan tangan kepada saudaranya, janganlah dipentingkan sangat partinya, lihatlah keluasan hidup ini dan hak-hak muslim atas muslim yang lain yang tercatat dalam agama ini. Akidah merentasi parti. Sentiasalah kita ingat firman Allah: (maksudnya):
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah, 8)

RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 3 2013 (KSSR)


RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN TAHUN 3 PENDIDIKAN ISLAM

DOWNLOAD LINK DIBAWAH

RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN BAHASA ARAB TAHUN 3 2013


RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN BAHASA ARAB TAHUN 3 2013 (KSSR)

DOWNLOAD LINK DIBAWAH

Monday, 3 December 2012

Panduan Solat Qasar Dan Jama'

1. Solat Qasar
1.1. Takrifan Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.
1.2. Hukum Qasar Harus berdasarkan kepada dalil berikut:
i. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud; “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”
ii. Al-Sunnah yang bermaksud; ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)
1.3. Jarak Dibenarkan Qasar Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
1.4. Syarat Solat Qasar
i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
ii. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu)
iii. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna)
v. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.
1.5. Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)
2. Solat Jama’
2.1 Takrifan Solat Jama’ terbahagi kepada :
i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
2.2 Syarat Solat Jama’
2.2.1 Solat Jama’ Taqdim
i. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
2.2.2 Solat Jama’ Ta’khir
i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
2.3 Contoh Niat
2.3.1 Jama’ Taqdim
i. Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
ii. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
2.3.2 Jama’ Ta’khir
i. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)

Bingkisan Perjalanan Buat Yang Demam ‘Kuasa’

BINGKISAN PERJALANAN BUAT YANG DEMAM ‘KUASA’
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Sekarang ini demam Pilihanraya ke-13. Ia dijangka pilihanraya yang benar-benar akan men’demam’kan samada BN ataupun PR. Maka sekarang parti-parti politik dalam negara kita sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menghadapi demam tersebut. Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini. Kuasa, kuasa, dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia politik. Saya tidak ingin mengulas pada minggu ini. Saya hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan. Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan koreksi untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.

Gambar Hiasan
Akur Kesilapan
Nabi Musa a.s berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa a.s pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa a.s. tersebut. Nabi Musa a.s mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)
“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?”
Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).
Inilah sikap perjuang yang ikhlas dan benar!
Pohon Maaf dan Betulkan Kesilapan
Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran. Beliau menyebut dalam suratnya:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu akan haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”.
Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.
Maksud ‘Rakyat Didahulukan’
Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah ‘Umar bin al-Khattab ini: Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:
“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya:
“Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Awasi Pengampu
Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid:
“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”.
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”.
Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Gambar Hiasan
Menyedari Bebanan Amanah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya:
“Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).
Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya:
“Lihatlah ke arah Kaabah.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku sedang lihat.” Kata beliau lagi: “Berapa jumlah mereka yang kau lihat?” Jawab Harun: “Siapa yang mampu membilangnya.” Kata beliau pula: “Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Kata al-‘Umari lagi: “Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti.”
Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.
Menyedari Kemampuan Diri
Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya:
“Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).
Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa.

WASIAT RASULULLAH SAW KEPADA SAIDINA ALI

Wahai Ali, bagi orang mukmin itu ada tiga tanda iaitu,
tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia,
tidak terpesona dengan pujuk rayu,
benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu,
jujur dalam berkata-kata,
menjauhi segala yang haram,
merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda iaitu,
merahsiakan ibadahnya,
merahsiakan sedekahnya,
merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali, bagi orang yang bertaqwa itu ada tiga tanda,
iaitu, takut berlaku dusta dan keji,
menjauhi kejahatan,
memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu,
mengawasi dirinya,
menghisab dirinya,
memperbanyakkan ibadah kepada Allah taala.

Friday, 23 November 2012

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

- Gambar Hiasan
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).

Thursday, 22 November 2012

Kisah Imam Syafie Menuntut Ilmu



Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.


Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.


Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.


Pengajaran:


1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu
sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.

2. Dalam majlis ilmu,
tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan semasa pengajaran.

3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal
pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat. 
Nasihat Imam Syafie

Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu, penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar dalam bidang fekah. Beliau banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada para pelajar. Antaranya ialah :

1. Imam al-Syafie pernah bersyair:

Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’
2.Beliau Berkata :

Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.”

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat Imam al-Syafie ialah :

1. Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan hijab atau penghalang untuk mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpan ilmu yang bermanfaat.

2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.

3. Melakukan amalan-alaman sunat secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini antara cara untuk ikhlas dalam beramal soleh.

4. Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa menghabiskan masanya dengan ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau akhiratnya.

5. Orang yang berilmu juga hendaklah selalu mengingati mati kerana mati itu akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara yang bermanfaat untuk kehidupannya selepas mati.

Sunday, 18 November 2012

JIKA RASULULLAH SAW MASIH ADA


Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.

Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat .
Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.

Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.
Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?

MUTIARA KATA

I ) ILMU DAN HIKMAH

01. Saidina Ali Karamallhu Wajha
Ilmu yang tidak bermanfaat umpama ubat yang tidak menyembuhkan.

02. Saidina Ali Karamalluhu Wajha
Duduklah bersamadengan orang yang berakhlak mulia nescaya akan bertambah mulialah akhlakmu dan duduklah bersama para ulama, nescaya ilmumu akan bertambah.

03. Imam as-Syafie
Tiadalah keizzahan mereka yang tidak merasai ketaqwaan sebagai keizzahan.

04. Imam Ghazali
Sesiapa yang memiliki ilmu lalu memanfaatkannya dan memberi manfaat pada orang lain samalah seperti mentari yang menerangi dirinya dan orang lain,sedangkan ia ( mentari ) itu terus bersinar.

05. Luqman al-hakim
Diam itu merupakan hikmah,namun tidak ramai yang mempraktikkannya.

II ) MASA

01. Saidina Ali Karamullahu Wajha
Kehidupanmu adalah nafas-nafas ( detik-detik ) yang tertentu,apabila berlalu satu detik daripadanya nescaya telah berkuranglah satu juzuk ( daripada umurmu).

02. Saidian Ali Karramullahu Wajha
Janganlah dikau menangguhkan untuk melakukan sesuatu kebaikan hingga keesokkan hari ,kerana mungkin keesokkan hari yang mendatang kamu telah mati.

03. Saidina Ali Karramullahu Wajha
Hari ini ( di dunia ) adalah masa untuk beramal dan tidak ada hisab padanya,manakalah hari esok pula ( di akhirat ) adalah waktu perhitungan dan tidak ada peluang untuk beramal.

04. Saidina Abbas
Sebaik-baik perkara kebajikan adalah disegerakan

05.Imam Hasan al-Basri
Sesungguhnya kamu wahia manusia ibarat bilangan,apabila berlalu bagimu satu hari bererti telah berlalu sebahagian daripada kamu.

Saturday, 17 November 2012

10 GANGUAN SYAITAN KETIKA SOLAT

1. WAS-WAS SEMASA MELAKUKAN TAKBIRATUL IHRAM

Saat mulai membaca takbiratul ihram “Allahu Akbar” , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah.
Sehingga ada yang mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir rukuk.
Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau semasa takbiratul ihram dalam solat”.


2. TIDAK KHUSYUK SEMASA MEMBACA BACAAN DALAM SOLAT

Sahabat Rasulullah SAW Iaitu ‘Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu,”Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah”.Rasulullah SAW menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku”. (HR. Muslim)


3. LUPA JUMLAH RAKAAT YANG TELAH DIKERJAKAN

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, “Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah lakukan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) semasa masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam”. (HR Bukhari dan Muslim)


4. HADIRNYA FIKIRAN YANG MENGGANGU

Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari sambil terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muazin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamah dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamah, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia solat”. (HR Bukhari)


5. TERGESA-GESA UNTUK MENYELESAIKAN SHOLAT

Ibnul Qayyim berkata, “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan, karena tergesa-gesa adalah sifat gegabah, yang menghalangi seseorang untuk hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.”
Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya asal boleh. Asal boleh mengerjakan, asal selesai dan asal jadi. Tidak ada ketenangan atau tukmaninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi karena solat yang telah ia kerjakan belum sah.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Qur’an yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk, lalu bangkitlah dari rukuk sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu”. (HR Bukhari dan Muslim)


6. MELAKUKAN GERAKAN-GERAKAN YANG TIDAK PERLU

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, maka Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat: “Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan tersebut berasal dari syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah SAW”. Orang tersebut bertanya, “Apa yang dilakukannya?” Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya diatas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah SAW”, kata Ibnu Umar. (HR Tirmidzi)


7. MELIHAT KE KANAN ATAU KE KIRI KETIKA SOLAT

Dengan sedar atau tidak, orang tersebut melihat ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. Yaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum melihat ketika solat”. Rasulullah SAW menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba”. (HR Bukhari)


8. MENGUAP DAN MENGANTUK

Rasulullah SAW bersabda, “Menguap ketika solat itu dari syaitan. Oleh itu bila kalian ingin menguap maka tahanlah seboleh mungkin”. (HR Thabrani).


9. BERSIN BERULANG KALI SAAT SOLAT

Syaitan ingin menganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu dari syaitan” (Riwayat Thabrani). Ibnu Hajar mengulas kenyataan Ibnu Mas’ud, “Bersin yang tidak disenangi Allah SWT adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah SWT. Hal itu tidak lain karena syaitan memang ingin menggangu solat seseorang dengan berbagai cara”.


10. TERASA INGIN BUANG ANGIN ATAU BUANG AIR

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya”. (HR Muslim)

P/S ; Berbahagialah orang-orang muslim yang selama ini terbebas dari berbagai macam gangguan syaitan dalam solat. Semoga kita semua dibebaskan oleh Allah SWT dari gangguan-gangguan tersebut…..Aminnn

15 SOALAN ORANG KAFIR YANG BOLEH DI JAWAB OLEH UMAT ISLAM

1) Nama Nabi Isa as disebut 25 kali dalam Al-Quran, tetapi berapa kali nama Nabi Muhammad saw disebut dalam Al-Quran?
Nama Nabi Muhammad saw hanya disebut 5 kali sahaja di dalam Al-Quran. Manakala nama Nabi Isa as disebut 25 kali. Mengapa? Kerana Al-Quran diwahyukan pada Nabi Muhammad saw, sebab itu nama Nabi Muhammad saw jarang disebut. Al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk memaparkan kisah Nabi Muhammad saw tapi adalah sebagai panduan perjalanan hidup umat Islam.
2) Nama Nabi Isa lebih banya disebut daripada nama Nabi Muhammad saw dalam Al-Quran. Tentu sahaja Nabi Isa lebih hebatkan?
Dalam Bible, nama syaitan lebih banyak daripada nama Nabi Isa. Jadi, adakah syaitan lebih hebat daripada Nabi Isa? Sebenarnya Allah tidak bezakan tentang kehebatan Nabi dan RasulNya. Walaubagaimanapun, Allah lebih Maha Mengetahui.
3) Dalam Islam percaya yang Nabi Isa as diangkat ke langit, sedangkan Nabi Muhammad saw wafat. Jadi, bila Nabi Isa as dibawa ke langit, tentu sahaja Nabi Isa itu Tuhan kan?
Dalam banyak-banyak kaum, hanya kaum Nasrani sahaja yang telah salah anggap tentang nabi yang diutuskan kepadanya sebagai Tuhan (Nabi Isa). Sedangkan, dalam Bible juga ada menyatakan bahawa Jesus (Nabi Isa) berkata "Siapa yang taat pada Allah akan masuk Syurga, siapa yang menganggap Jesus sebagai tuhan akan masuk neraka”. (Kitab Injil yang menjadi rujukan pengganut Kristian sekarang ini sebenarnya telah dimanipulasi isi kandungannya)
4) Dalam Islam, Nabi Muhammad saw adalah Nabi terakhir. Tapi, di akhir zaman nanti Nabi Isa as akan turun. Kenapa tidak dikatakan Nabi Isa as yang terakhir?
Nabi Muhammad saw adalah nabi terakhir berdasarkan tahun kelahirannya. Contohnya, jika anak bongsu meninggal dunia, sedangkan anak sulung masih hidup, anak sulung tetap kekal pangkatnya sebagai yang sulung.
5) Nabi Isa as disembah sebagai anak Tuhan kerana dianggap mulia sebab lahir tanpa bapa.
Antara ibu dan anak, mana yang lagi mulia? Tentu ibu kan? Jadi, kenapa orang Kristian tidak menyembah Mariam saja? Bukankah Mariam itu ibu, tentu lagi mulia. Nabi Adam merupakan manusia pertama juga lahir tanpa bapa, malah tanpa ibu juga. Jadi, kenapa tidak disembah Adam saja?
Firman Allah swt : "Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia. -Surah Al-Imran, ayat-59.
6) Jika membaca tafsir, Allah berfirman sekejap guna 'Aku', sekejap guna 'Kami'. Kenapa? Bukankah maksud 'Kami' itu mewakili 'Tuhan + Mariam + Anak Tuhan (Isa)'?
Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. 'Aku' kata jamaknya 'Kami' yang menggambarkan tentang 'Allah dan keagunganNya' . Bukankah Queen Elizebeth ketika bertitah, beliau guna 'We' bukan 'I'?
7) Orang Sikh Punjabi bertanya, kenapa Islam perlu potong rambut? Bukankah rambut itu anugerah tuhan yang perlu disimpan?
Kita jawab dengan soalan ini, kuku juga anugerah tuhan, kenapa orang Sikh Punjabi potong kuku?
8) Sami Buddha vegetarian bertanya, kenapa Islam disuruh membunuh binatang untuk dimakan? Bukankah itu zalim kerana membunuh hidupan bernyawa?
Sains telah membuktikan bahawa sayur dan pokok turut mempunyai nyawa. Malah, apabila kita basuh tangan pun, ada banyak nyawa kuman yang kita bunuh. Itu tidak kejam? Apabila kita membunuh (sembelih) seekor lembu, sebenarnya kita telah menyelamatkan banyak nyawa manusia daripada mati kelaparan.
9) Sami Buddha menjawab "Bunuh sayur dosa kecil sebab sayur kurang deria. Bunuh binatang dosa besar"
Habis tu, adakah kita cuma berdosa kecil jika membunuh orang yang pekak, buta, dan bisu hanya kerana dia tidak ada deria?
10) Sami Buddha menjawab lagi "Jika kita bunuh sayur, sayur akan tumbuh balik"
Jadi, makanlah ekor cicak kerana ekor cicak akan tumbuh semula selepas putus.
11) Sami Buddha berkata lagi, "Makan binatang akan dapat banyak penyakit"
Sebenarnya, penyakit datang kerana kita banyak makan. Bukan kerana makan binatang. Allah suruh makan secara sederhana. Nabi juga suruh berhenti makan sebelum kenyang. Lagipun, Allah dah beri gigi taring dan gigi kacip untuk manusia makan binatang dan sayuran. Bukankah tembakau dan ganja itu juga berasal dari tumbuhan? Lagi besar penyakitnya. Lembu yang ragut rumput hari-hari pun boleh jadi lembu gila. Sebenarnya, tak kesah pun kalau kita tak nak makan daging, tapi jangan lah cakap haram apa yang telah Allah halalkan.
12) Kan babi itu ciptaan Allah, kenapa Islam tak makan babi?
Sebab bukan semua ciptaan Allah adalah untuk dimakan. Jika begitu, batu dan kayu juga ciptaan Allah. Manusia juga ciptaan Allah. Nak jadi kanibal?
13) Islam cakap Hindu sembah berhala tetapi Islam hari-hari sembah Kaabah.
Islam bukan sembah Kaabah. Tapi Kaabah itu adalah Kiblat untuk satukan umat. Dalam Islam dah sebut, siapa sembah Kaabah akan masuk neraka kerana Islam sembah Allah, kaabah cuma kiblat. Ada bezanya. Bukti, orang yg sembah berhala tidak akan pijak berhala, tapi orang Islam pijak Kaabah untuk melaungkan azan. Orang Hindu tak akan pijak gambar berhala tapi orang Islam hari-hari pijak gambar Kaabah di sejadah. Jika ada sepanduk gambar Kaabah direntangkan di KLCC sekalipun, orang Islam tetap solat menghadap Kaabah di Mekah kerana itu kiblat kita untuk sembah Allah. Bukan sembah Kaabah!
14) Kenapa perlu ikut Nabi Muhammad saw? Nabi dan Rasul sebelum baginda itu sesatkah?
Nabi sebelum Nabi Muhammad saw diutus untuk kaum dan zaman tertentu sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad saw diutus untuk semua kaum dan sepanjang zaman.
15) Apa bukti Allah wujud? Mana Allah? Tak nampak pun.
(Tampar beliau!) Kemudian cakap, sakit itu wujud dan boleh dirasa, tapi adakah kita nampak sakit itu? Begitu juga dengan kewujudan Allah. Allah itu wujud dan kita boleh rasa nikmat pemberian-Nya, tapi kita tak boleh nampak Allah.
p/s : Sebaik-baiknya, jika anda tidak yakin untuk menjawab soalan-soalan seperti di atas bersendirian, eloklah bawa orang itu berjumpa dengan orang yang lebih alim dalam hal agama untuk menyelesaikannya. Ini hanyalah sebagai perkongsian dan rujukan.

Wednesday, 14 November 2012

10 PERKARA YANG SIA-SIA

1. Laki-laki atau wanita yang berdoa untuk dirinya sendiri, tapi tidak dimohonkan doanya untuk ibu-bapanya sendiri serta kaum Muslimin.
.
2. Orang yang kerapkali membaca Al-Quran, tapi tidak membaca secara tertib sampai seratus ayat tiap-tiap hari.
.
3. Laki-laki yang masuk ke dalam masjid, kemudian ia keluar kembali dari masjid itu tanpa mengerjakan solat tahiyyatul-masjid.
.
4. Orang-orang yang melewati tanah perkuburan, tapi tidak mengucapkan salam kepada penghuni-penghuni kubur dan tidak mendoakan untuk keselamatan arwah-arwah mereka.
.
5. Laki-laki yang masuk pada hari Jumaat ke suatu kota, kemudian ia keluar lagi dari kota itu tanpa mengerjakan shalat Jumaat berjemaah.
.
6. Laki-laki atau wanita yang tinggal di suatu lingkungan dengan seorang ulama, tapi dia tidak mempergunakan kesempatan itu untuk menambah ilmu pengetahuan.
.
7. Dua orang laki-laki yang bersahabat, tapi mereka tidak saling menanyakan tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.
.
8. Laki-laki yang mengundang seseorang menjadi tetamunya, tapi tidak diacuhkan dan tidak dilayani tetamunya itu.
.
9. Pemuda yang menjadikan zaman mudanya berlalu begitu saja tanpa memanfaatkan waktu yang berharga itu untuk menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti.
.
10. Orang yang tidak menyedari tetangganya yang merintih lantaran kelaparan, sedang ia sendiri makan kekenyangan di dalam rumahnya.

PESAN IMAM AL-SYAFI'I

30 PESANAN IMAM SYAFIE


  1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
  2. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.
  3. Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.
  4. Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukut.
  5. Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.
  6. Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
  7. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.
  8. Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
  9. Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.
  10. Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
  11. Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
  12. Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
  13. Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
  14. Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
  15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
  16. Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
  17. Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.
  18. Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.
  19. Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.
  20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
  21. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.
  22. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
  23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.
  24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.
  25. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
  26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.
  27. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.
  28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.
  29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."
  30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.

Tuesday, 6 November 2012

SENARAI SEK E-LAPOR OKT 2012


1. SK BATU BALAI
2. SK BUKIT NIKMAT
3. SK DURIAN HIJAU
4. SK KOTA GELANGI 1
5. SK GINTONG
6. SK GUSAI
7. SK JENGKA 24
8. SK JENGKA 25
9. SK KG BHARU
10. SK KG PAGI
11. SK KUALA SAT
12. SK LEPAR UTARA 1
13. SK PASIR DURIAN
14. SK PAWANG NONG
15. SK PPTR
16. SK SG TEKAM
17. SK SG TEKAM UTARA
18. SK TANAH ROM
19. SK ULU TEMBELING
20. SK BANDAR JERANTUT
21. SK JERANTUT
22. SK PULAU MANSOK
23. SK TEH
24. SK BUKIT DINDING
25. SK JERANTUT JAYA
26. SK SG RETANG
27. SK BUKIT MAT DALING
28. SK CHEBONG
29. SK PEDAH

Monday, 5 November 2012

ZAKAT HARTA

IBADAT ZAKAT

Firman Allah Taala:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ.
"Wahai orang-orang yang beriman,  belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata semasa mengambilnya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya,  lagi sentiasa terpuji. "(1)
Menurut keterangan syarak,  zakat terbahagi dua.
Pertama: Zakat badan (zakat fitrah) (2) dan
Kedua:   Zakat harta. 
Jenis-jenis harta yang diwajibkan zakatnya ialah:
(1) Emas dan perak
(2) Binatang ternak: Unta,  lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk kambing biri-biri atau kibas).
(3) Hasil tanaman: 
(a) Biji-bijian dari jenis-jenis yang mengenyangkan dan tahan disimpan seperti gandum,  padi, jagung dan lain-lainnya.
(b) "Buah-buahan": Tamar dan anggur sahaja.
(4) Barang-barang perniagaan. 
(5) Benda-benda galian (dari logam emas dan perak).
(6) "Rikaz" , iaitu harta benda yang terpendam yang ditanam oleh orang-orang dahulu - zaman jahiliyah.