1. Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw, “Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?” Jawab Rasulullah saw, “Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya”. (0033)
MUSTIKA HADITH (MUQADDIMAH)
WAJIB BERSIKAP IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU DAN AMAL IBADAT
Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan
Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia
mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110, Surah Al-Kahf)
" .. hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya segala ibadat dan bawaan mu." (2, Surah Al-Zumar).
Hadis Ketiga Puluh Tiga
33- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ
عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ
الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)
33- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh tiga ini menerangkan:
Orang yang mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat habuan dunia, buruk padahnya.
Huraiannya:
Tiap-tiap perbuatan adalah dinilai menurut tujuan orang
yang melakukannya. Sesuatu perkara yang dilakukan oleh dua orang dengan
tujuan yang berlainan, maka berlainan pula nilainya, kerana tujuanlah
yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu.
Ilmu agama - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah dan Allah, untuk menjalankan perintah-perintah Allah dan beramal kerana Allah.
Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh-sungguh kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa orang yang menuntut ilmu agama untuk mendapat habuan dunia semata-mata, maka ia bukan sahaja tidak memasuki syurga bahkan tidak dapat mencium baunya, kerana orang yang demikian telah menyelewengkan agama Allah dan telah
menjualnya dengan habuan-habuan dunia. Oleh itu sudah selayaknya ia menerima balasan yang seburuk-buruknya.
Dalam pada itu, janji balas buruk yang tersebut dalam hadis ini, tidak ditimpakan kepada orang yang menuntut ilmu agama dengan ikhlas, kemudian ia beroleh habuan dunia sebagai nikmat pemberian yang disegerakan Tuhan kepadanya, maka orang yang demikian tidak dikeji oleh syarak,
kerana ia tidak menyelewengkan agama Allah dan tujuannya yang sebenar.
Mengenai hal ini, Imam Ghazali dan alim ulamak yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian:
Pertama
- Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada
hari akhirat, maka ia adalah dari orang-orang yang berjaya!
Kedua - Orang yang menuntut ilmu untuk mendapat kemuliaan, kebesaran dan harta kekayaan, dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian, jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya dan perbuatannya yang salah itu maka ia akan termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya, kerana orang yang bertaubat dari dosanya akan menjadilah ia sama seperti orang yang tidak berdosa; dan jika ia mati sebelum bertaubat, adalah ditakuti ia akan mati dalam keadaan Su' al-Khatimah", semoga Allah melindungi kita daripada keadaan yang demikian dan dari segala yang membawa kepada "kesudahan yang buruk" itu.
Ketiga - Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim ulama pada pakaian dan tutur katanya; maka orang yang demikian adalah dari golongan yang binasa, kerana ia dihalangi dari bertaubat oleh sangkaannya bahawa ia berada di atas jalan yang benar.
Pendeknya orang yang menuntut ilmu dikehendaki menentukan niat dan tujuannya pada tiap-tiap masalah secara khusus satu persatu, atau secara umum - bahawa ia mempelajari ilmu itu ialah untuk menunaikan fardu ain" yang ditanggungnya untuk kewajipan dirinya sendiri, dan yang lebih dan itu hendaklah diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai sebagai "fardu kifayah"; dan janganlah diniatkan sebagai perkara "sunat" kerana pahala "perkara yang difardukan" adalah lebih besar dari itu.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya dengan ilmu yang diajarkannya itu akan dapat mencapai jalan yang menyampaikan faedahnya kepada segala lapisan masyarakat,
dengan perantaraan murid-muridnya dan murid-murid kepada
murid-muridnya, meliputi ilmu dan amal yang terus menerus hingga hari
qiamat.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya untuk menyekat dirinya dari melakukan maksiat dengan berlaku taat kepada Allah dan juga menyekat dirinya dari perkara-perkara yang sia-sia dan merugikan.
Menurut Imam Al-Qarafi, bahawa sesiapa yang mengajarkan ilmu kepada orang ramai dengan tujuan hendak menjadi orang yang masyhur dan terpuji, maka perbuatannya yang demikian menjadi sebab untuk ia dipulaukan dan tidak diambil ilmu yang disampaikannya.
Hadis Ketiga Puluh Empat
34- عَنْ
كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ
الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ
وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ. (الترمذي وابن ماجه)
34 - Dari Ka'ab bin Malik ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka. "
(Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hadis yang ketiga puluh empat ini mengingatkan:
Penuntut-penuntut ilmu supaya jangan bertujuan selain dari mentaati Allah serta mendapat keredhaan-Nya.
Huraiannya:
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama:
1 - Bermegah-megah menandingi alim ulama.
2 - Bertengkar dengan orang-orang jahil.
3 - Mendapat pujian orang ramai.
Sesiapa yang menjadikan salah satu dan tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama, maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.
Kejadian yang demikian dapat disaksikan di
mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu agama tetapi
perbuatannya memburukkan Islam. Ada pula yang tidak beramal menurut
ilmu dan ajaran Islam yang dipelajarinya, kerana amal bakti itu bukan menjadi tujuannya; pada hal tujuan yang tunggal bagi menuntut ilmu agama itu ialah untuk mencapai keredhaan Allah Taala dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Hadis Ketiga Puluh Lima
35- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ
الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ
نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ
حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ
جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى
أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ
الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا
عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ
فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ
لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ
قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي
النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ
الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ
فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ
يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ
فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ
عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ. (مسلم والترمذي والنسائي)
35 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari qiamat ialah: Pertama, orang yang gugur syahid - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya semasa hidupnya) lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku berperang kerana mematuhi perintahMu sehingga aku gugur syahid"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (bukan itu tujuan mu), akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan: Engkau berani dan telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka. Dan kedua, orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmatNya satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Qur'an kerana mengharapkan keredhananmu";
Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan
tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim dan engkau membaca Al-Qur'an supaya orang mengatakan: Si anu seorang
qari, maka telahpun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu
diseret dengan tertiarap, sehingga ia dihumbankan ke dalam neraka. Dan ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberinya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan - ia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat nikmatNya
satu persatu, lalu ia mengakui menerimanya; Allah Taala bertanya
kepadanya: "(Sesudah itu) maka apa engkau telah lakukan pada
nikmat-nikmat itu?" Ia menjawab: "Aku tidak tinggalkan satu jalan pun di antara jalan-jalan yang engkau suka dibelanjakan kekayaan itu padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmatMu"; Allah Taala berfirman: "Engkau berdusta! (Bukan itu tujuanmu), akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan: Si anu itu seorang dermawan,
- maka telah pun dikatakan yang demikian". Kemudian ia dihukum lalu
diseret dengan tertiarap; akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka."
(Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i).
Hadis yang ketiga puluh lima ini menerangkan:
Akibat buruk yang ditimpakan kepada orang-orang yang menyalahgunakan nikmat-nikmat pemberian Allah kepadanya.
Huraiannya:
Nikmat-nikmat Allah yang dikurniakannya kepada umat manusia amatlah banyak, tidak terhitung. Nikmat-nikmat pemberian itu meliputi tiga bahagian besar dalam alam kehidupan ini - jasmani, rohani dan kebendaan.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan perihal tiga jenis manusia, masing-masing mendapat salah satu dari jenis-jenis nikmat yang tersebut, iaitu nikmat jasmani seperti kesihatan dan kekuatan tubuh badan; nikmat rohani seperti ilmu pengetahuan dan amal ibadat; dan nikmat kebendaan seperti wang ringgit dan hasil mahsul.
Setelah disoal dan dibicarakan pada hari qiamat, mereka didapati bukan sahaja tidak bersyukur akan nikmat-nikmat pemberian Allah itu bahkan mereka telah menyalahgunakannya dengan tujuan mendapat nama dan dipuji orang semata-mata. Oleh yang demikian berhaklah mereka ditimpa azab seksa yang diterangkan itu.
Hadis Ketiga Puluh Enam
36- عَنْ
أَبِي سَعْدِ بْنِ أَبِي فَضَالَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا جَمَعَ اللَّهُ النَّاسَ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ لِيَوْمٍ لَا رَيْبَ فِيهِ نَادَى مُنَادٍ مَنْ كَانَ
أَشْرَكَ فِي عَمَلٍ عَمِلَهُ لِلَّهِ أَحَدًا فَلْيَطْلُبْ ثَوَابَهُ مِنْ
عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ
الشِّرْكِ. (الترمذي)
36- Dari Abu Sa'id bin Abi Fadhalah ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila Allah Taala menghimpunkan manusia pada hari qiamat pada hari yang tidak ada sebarang syak tentang tetap berlakunya, - (pada hari itu) menyerulah malaikat penyeru: "Sesiapa mempersekutukan (Allah dengan) mana-mana makhluk dalam sebarang amal yang dikerjakannya kerana Allah, maka hendaklah ia meminta pahalanya daripada yang lain dan Allah, kerana sesungguhnya Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amal yang dipersekutukan Dia dengan makhluk yang lain."
(Tirmizi)
Hadis yang ketiga puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Peristiwa berhimpun di padang Mahsyar.
(2) Keputusan perbicaraan masing-masing akan dihebahkan dalam perhimpunan itu.
Huraiannya:
Di
antara peristiwa-peristiwa yang akan ditempuh oleh setiap orang pada
hari qiamat kelak ialah peristiwa berhimpun di padang Mahsyar. Susah senang atau berat ringannya kesusahan yang akan dirasai di situ adalah bergantung kepada amal masing-masing.
Setelah
puas menunggu, masing-masing pun dibicarakan, dihisab dan ditimbang
amalnya, kemudian diisytiharkan keputusan perbicaraan itu.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan: Bahawa pada saat itu malaikat akan menghebahkan kepada umum: Sesiapa yang melakukan syirik - mempersekutukan mana-mana makhluk dengan Allah dalam amalnya, hendaklah ia meminta balasannya kepada makhluk itu, kerana Allah Taala tidak menerima sama sekali akan sebarang amalan syirik.
Pada ketika itu orang-orang yang bersalah akan menyesal, tetapi sesal kemudian tidak ada gunanya. Maka wajiblah dibersihkan segala amalan dari tujuan yang lain daripada mengharapkan keredhaan Allah.
Hadis Ketiga Puluh Tujuh
37- عَنْ
أَبِي أُمَامَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَرَأَيْتَ رَجُلًا غَزَا يَلْتَمِسُ الْأَجْرَ
وَالذِّكْرَ مَالَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ فَأَعَادَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ يَقُولُ لَهُ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا شَيْءَ لَهُ ثُمَّ
قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبَلُ مِنْ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ
خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ. (أبو داود والنسائي)
37- Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana hukum seseorang yang pergi berperang untuk mencari pahala dan nama yang terpuji,
apa yang akan didapatinya?" Maka Rasulullah s.a.w. (menyatakan
kepadanya dengan) bersabda: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala";
Si penanya mengulangi pertanyaannya tiga kali dan Rasulullah s.a.w. pula
tetap menjawab: "Orang itu tidak beroleh sebarang pahala"; akhirnya Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla tidak menerima sebarang amal melainkan yang dikerjakan untukNya semata-mata dan dengan tujuan untuk mendapat keredhaanNya."
( Abu Daud dan An-Nasa'i)
Hadis yang ketiga puluh tujuh ini menerangkan bahawa:
Sebarang amal yang dikerjakan bukan kerana Allah, tidak ada nilainya di sisi Allah.
Huraiannya:
Sesuatu amal yang dikerjakan, walau seberapa besar dan tinggi nilainya pada anggapan manusia, belum tentu ada nilainya di sisi Allah untuk mendapat balasan pahala pada hari akhirat kelak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan hukum perkara itu kepada orang yang bertanya mengenai seseorang yang berjuang di medan perang dengan tujuan untuk mendapat pahala dan nama yang terpuji sebagai pahlawan yang gagah berani; Baginda menyatakan bahawa orang itu tidak beroleh sebarang pahala. Baginda menegaskan jawapannya itu sebanyak tiga kali, sambil menerangkan sebabnya amal itu yang pada zahirnya dipandang tinggi nilainya
tetapi pada hakikatnya tidak mendapat sebarang pahala kerana ia
dikerjakan bukan kerana Allah semata-mata, sedang Allah Subhanahu wa
Taala tidak menerima melainkan amal bakti yang dikerjakan dengan ikhlas kepadaNyaWAJIB MENYAMPAIKAN ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. " (159, Surah Al-Baqarah).
"Dan (ingatlah!) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan kitab, iaitu: Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya .." (187, Surah Ali Imran).
Hadis Kedua Puluh Tujuh
27- عَنْ
أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ
مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ. (البخاري ومسلم)
27 - Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua puluh tujuh ini menerangkan bahawa:
(1) Soal menyampaikan ilmu agama adalah menjadi tugas kepada setiap orang yang mengetahuinya.
(2) Orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama, boleh jadi ia lebih faham dari orang yang menyampaikannya.
Huraiannya:
1 - Soal menyampaikan ilmu agama:
Agama Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia dan segala bangsa dan dalam setiap masa, turun temurun hingga hari qiamat. Untuk meneruskan perkembangan Islam dalam segala tempat dan segala zaman itu, Nabi Muhammad s.a.w. , meninggalkan pesannya yang berupa perintah supaya tiap-tiap orang yang mendengar hadis Baginda dan ajaran-ajaran yang dibawanya, menyampaikannya kepada orang yang belum mendengarnya.
Dengan itu nyatalah bahawa tugas menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu hukum agama bukanlah tertentu kepada seseorang dengan jalan dilantik, tetapi dengan sendirinya menjadi kewajipan sesiapa jua yang menghadiri mana-mana majlis pelajaran agama, atau hadis Nabi, atau hukum-hukum Islam, menyampaikannya kepada orang-orang yang tidak hadir bersama, dengan sungguh-sungguh jujur dan amanah.
Demikianlah seterusnya dari seorang kepada yang lain, masing-masing menjalankan tugas menyampaikan ajaran-ajaran Islam, walaupun orang yang menyampaikan itu sendiri tidak begitu faham akan maksud hadis atau hukum yang hendak disampaikannya itu.
2 - Kewajipan orang yang disampaikan kepadanya sesuatu ilmu agama:
Orang yang disampaikan kepadanya pelajaran itu, wajib menerimanya. Tentang soal memahami maksud hadis atau hukum yang diterimanya, maka ia tidaklah terikat dengan fahaman orang yang menyampaikannya, bahkan ia boleh menyatakan fahamannya dengan berdasarkan kaedah yang tertentu dalam ilmu agama.
Pendeknya orang yang menyampaikan sesuatu hadis atau sesuatu ilmu agama dan Rasulullah s.a.w.
boleh diterima daripadanya walaupun orang itu tidak begitu faham akan
hadis atau ilmu yang disampaikannya; dan ia akan beroleh pahala dengan usaha penyampaiannya itu serta dikira dan golongan ahli agama.
Hadis Kedua Puluh Lapan
28- عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي
إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا
فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. (البخاري والترمذي)
28 - Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhari dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh lapan ini menerangkan bahawa:
(1) Ilmu agama, walau sedikit sekalipun, wajib juga disampaikan.
(2) Kisah-kisah Bani Israel boleh diceritakan.
(3) Balasan buruk bagi orang yang berbuat dusta terhadap Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
1 - Soal menyampaikan ilmu agama:
Ilmu agama tidak harus sama sekali disembunyikan, bahkan tiap-tiap seorang yang mengetahuinya wajib menyampaikannya kepada orang yang belum mengetahuinya walau pun ilmu itu hanya satu ayat dan Al-Qur'an atau satu hadis atau satu hukum. Dengan itu akan tersebarlah ilmu pengetahuan dan hukum-hukum Islam kepada seluruh umat manusia sebagaimana yang ditugaskan kepada Rasulullah s.a.w. dan umatnya.
2 - Kisah-kisah Bani Israel:
Kisah-kisah
Bani Israel tidak salah diceritakan, asalkan kisah-kisah itu tidak
diyakini dustanya. Itu pun mana-mana yang mengandungi pengajaran dan mendatangkan iktibar, seperti kisah kaum yang diperintahkan membunuh diri untuk bertaubat dan dosa mereka menyembah patung anak lembu, dan kisah kaum yang telah diubah keadaan mereka kepada keadaan monyet dan babi kerana kesalahan mereka melanggar perintah dengan melakukan tipu helah.
3 - Balasan berbuat dusta terhadap Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam hal menyampaikan apa yang datang dari Rasulullah s.a.w., tiap-tiap seorang hendaklah berhati-hati supaya
ia tidak melakukan sesuatu yang dusta terhadap Baginda dengan
mengatakan perkara yang disampaikannya itu berpunca dari Baginda pada hal yang sebenarnya tidak demikian.
Memperkatakan sesuatu yang dusta terhadap Baginda amat buruk kesannya kepada ajaran dan hukum-hukum Allah yang dibawa oleh Baginda. Oleh itu sesiapa yang sengaja melakukan perkara yang demikian maka berhaklah ia menerima azab seksa yang dijanjikan oleh Baginda dalam hadisnya ini.
Al-Ubbi, ahli hadis yang terkenal pensyarah kitab Sahih Muslim mengingatkan dengan berkata: perkara yang hampir kepada dusta atau yang berupa dusta, ialah memperkatakan kalimah-kalimah dalam hadis Nabi dengan sebutan yang salah (yang tidak menurut kaedah Bahasa!Arab); oleh itu, maka tiap-tiap seorang yang beriman hendaklah berjaga-jaga dengan bersungguh-sungguh mengenai hal yang tersebut. Demikianlah juga diperingatkan oleh Imam Nawawi. Al-Ubbi berkata lagi: Sebagai bukti tentang apa yang dikatakan oleh Imam Nawawi
dalam hal ini, ialah apa yang telah disalinkan oleh Ibnu Al-Salah dan
Al-Asma'i yang pernah mengatakan: "Bahawa perkara yang sangat
dibimbangkan terhadap seseorang penuntut ilmu hadis apabila ia tidak mengetahui ilmu Bahasa Arab, akan termasuk (di antara orang-orang) yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. (sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka), kerana Baginda tidak pernah menuturkan sabdanya dengan cara yang salah pada kaedah-kaedah Bahasa Arab, maka pada bila-bila masa sahaja engkau meriwayatkan hadis dan Baginda dan engkau menyebutnya dengan cara yang salah, bermakna engkau berdusta terhadap Baginda!".
Dengan yang demikian - kata Ibnu Al-Salah lagi - adalah menjadi tanggungan seseorang penuntut hadis untuk mempelajari Nahu dan ilmu bahasa Arab sekadar yang dapat menyelamatkan dirinya dari perbuatan menuturkan hadis-hadis dengan cara yang salah dan dari merosakkan maksudnya yang sebenar serta dari akibatnya yang buruk.
Bagi pembaca-pembaca hadis Rasulullah s.a.w., hendaklah mereka menerima bacaan Hadis itu dari mulut ahli ilmu hadis yang menjaga dan memelihara sebutannya dengan betul,
Hadis Kedua Puluh Sembilan
29- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ
بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود والترمذي)
29- Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang ditanyakan kepadanya mengenai sesuatu ilmu (agama), lalu ia menyembunyikannya nescaya Allah mengekang mulutnya dengan kekang dari api neraka, pada hari qiamat kelak."
( Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh sembilan ini menerangkan tentang:
Balasan yang seburuk-buruknya bagi orang yang menyembunyikan ilmu agama.
Huraiannya:
Sebagaimana yang sedia diketahui, bahawa soal menyampaikan ilmu agama adalah suatu perintah yang ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasul Nya Nabi Muhammad s.a.w. , .iaitu tiap-tiap seorang yang mengetahui sesuatu masalah agama, dituntut menyampaikannya kepada orang lain, sebagaimana ia dituntut mengamalkannya untuk kebaikan dirinya sendiri, kerana tujuan ilmu agama itu dipelajari ialah untuk diamalkan dan mendatangkan faedah, sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain.
Oleh itu, sesiapa yang menyembunyikan sesuatu masalah agama, atau tidak mahu menyebarkannya atau menerangkannya kepada orang yang bertanyakan masalah itu kepadanya, sudah tentu ia menentang perintah Allah dan Rasul-Nya dan menentang tujuan ilmu yang ada padanya. Dengan yang demikian, sudah sepatutnya ia dikenakan azab seksa yang seberat-beratnya sebagaimana yang tersebut dalam Hadis ini.
Berdasarkan hadis yang tersebut dan juga Hadis-hadis yang lain yang berhubung dengannya, alim ulama membuat kesimpulan bahawa orang yang ditanyakan kepadanya sesuatu masalah agama, wajiblah ia menerangkannya, dengan syarat:
Pertama - Orang yang bertanya itu berhak mengetahui masalah yang ditanyakan;
Kedua - Masalah yang ditanyakan itu dari perkara-perkara "fardu ain" kepadanya!
Hadis Ketiga Puluh
30- عَنْ
ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ
رَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ
وَرَجُلٍ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا. (البخاري ومسلم والترمذي)
30 - Dari Ibnu Mas'ud, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan agama, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya."
(Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Hadis yang ketiga puluh ini menerangkan tentang:
Dua Kelebihan yang sangat-sangat digalakkan beriri hati kepadanya.
Huraiannya:
Nikmat-nikmat yang diberikan Allah kepada hambanya amatlah banyak, tidak terhitung. Di antaranya dua perkara yang sangat tinggi nilainya dan besar kelebihannya untuk mencapai keredhaan Allah Taala.
Yang pertama - nikmat pemberian harta benda kepada seseorang yang dapat menguasai dirinya dan berjaya mengalahkan perasaan tamak halubanya,
sehingga dapatlah ia membelanjakan hartanya itu pada perkara kebajikan
yang sebenar-benarnya, bukan membelanjakannya dengan cara membazir atau kerana riak atau kerana menurut kemahuan nafsunya semata-mata.
Kedua - nikmat pemberian ilmu pengetahuan agama kepada seseorang yang menyedari tugasnya, lalu menggunakan ilmunya itu untuk mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.
Rasulullah s.a.w. menerangkan dalam hadis ini: Bahawa dua nikmat pemberian yang tersebut amatlah besar kelebihannya
sehingga mustahaklah tiap-tiap seorang beriri hati dan berusaha dengan
bersungguh-sungguh semoga Allah mengurniakannya nikmat-nikmat itu supaya dapatlah ia menggunakannya menurut cara yang sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang yang tersebut.
Dengan berlakunya keadaan yang demikian, maka sempurnalah kebaikan seseorang meliputi jasmaninya dan rohaninya.
Hadis Ketiga Puluh Satu
31- عَنْ
أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ
أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ
مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا. (مسلم وأبو داود والترمذي)
31 -Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang ketiga puluh satu ini menerangkan:
Kelebihan orang yang mengajak mengerjakan amal yang baik dan sebaliknya.
Huraiannya:
Sesuatu amal kebajikan, atau sesuatu perkara yang menyesatkan, banyak juga dilakukan orang dengan sebab ajakan atau pimpinan atau pun arahan orang lain. Demikian pula orang yang mengajak itu, banyak juga dapat menarik orang-orang melakukan perkara-perkara yang disebarkannya itu sama ada baik atau buruk.
Oleh itu, sesiapa yang mengajak melakukan sesuatu perkara, maka ia adalah bertanggungjawab terhadap perkara itu.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa setiap orang yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal salih, sama ada amal itu kecil atau besar,
maka ia diberi pahala sebanyak pahala yang didapati oleh orang yang
menurut ajakannya, kerana dialah yang berusaha menyebabkan amal yang baik itu tersebar dikerjakan orang.
Sebaliknya, sesiapa yang mengajak ke jalan melakukan sesuatu amalan sesat, maka ia akan menanggung dosa,
sebanyak dosa yang ditanggung oleh orang-orang yang menurut ajakannya,
kerana dialah yang berusaha menyebabkan perkara yang menyesatkan itu
tersebar dilakukan orang.
Demikianlah besarnya kelebihan dan kebaikan yang akan didapati oleh orang-orang yang mengajak, memimpin, menunjuk dan menyebabkan berlakunya sesuatu amalan yang diredhai Allah; dan sebaliknya amatlah besar padahnya bagi orang-orang yang menyebabkan berlakunya sebarang perkara yang dimurkai Allah `Azza wa Jalla.
Hadis Ketiga Puluh Dua
32- عَنْ
زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى
يُبَلِّغَهُ غَيْرَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ
مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ. (الترمذي وأبو داود)
32 - Dari Zaid bin Thabit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Semoga Allah menyerikan wajah dan memperelokkan keadaan orang yang mendengar dari kami sebarang hadis lalu
ia memeliharanya (dengan ingatannya atau dengan tulisannya), supaya ia
dapat menyampaikannya (kepada orang lain); - kerana boleh jadi ada
pembawa sesuatu hadis hukum kepada orang yang lebih faham daripadanya dan boleh jadi juga pembawa sesuatu hadis hukum itu, ia sendiri bukanlah seorang yang memahaminya."(Tirmizi dan Abu Daud)
Hadis yang ketiga puluh dua ini menerangkan tentang:
(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan "Hafaznya" tidak disyaratkan "Fahamnya".
Huraiannya;
(1) Kelebihan orang yang berkhidmat memelihara Hadis-hadis Nabi S.A.W.
Orang-orang yang memelihara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. amatlah besar jasanya! Apabila mendengar sesebuah hadis, mereka menghafaznya atau menulisnya dengan cermat, kemudian mereka menghebahkannya dengan sepenuh tanggungjawab. Ini bermakna mereka bekerjasama dengan Rasulullah s.a.w. menunaikan kewajipan dalam hal mengembangkan agama Islam yang dibawa oleh Baginda. Dengan yang demikian, sudah selayaknya perkhidmatan mereka mendapat balasan yang sebaik-baiknya.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa perkhidmatan mereka dihargai oleh Baginda dengan mendoakan semoga Allah Taala menyerikan wajah mereka dan menjadikan mereka berpuas hati dengan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada mereka di dunia dan di akhirat.
(2) Orang yang menyampaikan hadis disyaratkan menghafaznya dan memeliharanya betul-betul, tidak disyaratkan memahaminya.
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. hendaklah disebarkan. Apa yang mesti disebarkan itu ialah kata-kata yang disabdakan oleh Baginda.
Ada
pun tentang makna maksud hadis-hadis itu, terpulanglah kepada
masing-masing memahaminya, kerana boleh jadi orang yang menyampaikan
sesebuah hadis itu tidak memahaminya atau kurang mendalaminya, meskipun
demikian, ia berkewajipan juga menyebarkannya. Dalam pada itu, boleh
jadi orang yang disampaikan kepadanya itu boleh memahami lebih mendalam dari orang yang menyampaikannya.
SEBENAR-BENAR PERKATAAN DAN SEBAIK-BAIK JALAN PIMPINAN
Firman Allah Taala, maksudnya: " .. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? " (87, An-Nisa').
"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur'an" (23, Al-Zumar).
" .. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tetap memimpin ke jalan yang lurus." (52, Al-Syura).
"Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa hidayat pertunjuk dan agama yang benar (Agama Islam) (28, Al-Fath).
Hadis Pertama
1- عَنْ
جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ
وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ
وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ
وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ
أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ
الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ
بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ
نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ
ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره)
1- Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua
jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda
lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan
Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah
perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang
tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah
bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi:
"Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".
(Muslim dan Lain-lainnya).
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:
(1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.
(2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya qiamat.
(3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w ialah sebaik-baik jalan pimpinan.
(4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.
(5) Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang mukmin.
Hurainnya:
Pertama - Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato:
Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato, Rasulullah s.a.w menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.
Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.
Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.
Kedua - Masa Baginda diutus dan saat berlakunya qiamat:
Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang
lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa
Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah
dari jari telunjuk.
Ketiga - Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan:
Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.
Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kitab Allah, kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.
Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.
Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang,
Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah
berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan
setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.
Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah da kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.
Pimpinan Rasulullah s.a.w.:
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar,
yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan
pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan
baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.
Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.
Keempat - Perkara-perkara Baharu yang diada-adakan dalam Agama:
Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.
Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari
jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat
kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan
sahaja dalam kehidupan dunia ini
semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat
kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan
tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar dan balasan yang seburuk-buruknya.
Kelima - Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Mukmin:
Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.
Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama, yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya, segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.
Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.
Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w.
2- عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ
أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ
تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ
يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ
فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي
بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (أبو داود)
2 - Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: "Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? " Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: "Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dan mulutku ini melainkan yang benar. "
(Abu Daud)
Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa:
(1) Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. telah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda.
(2) Baginda mengizinkan supaya Hadis-hadis ini ditulis.
(3) Segala yang disampaikan oleh Baginda adalah benar.
(4) Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah anggapan yang tidak berasas.
Huraiannya:
Pertama - Penulisan Hadis-hadis Nabi.
Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah Taala membawa syariat Islam kepada seluruh umat manusia, Baginda adalah sebagai seorang mahaguru yang diberi tugas mengajar, maka segala yang terbit dari Baginda, sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pun taqrirnya (ketiadaan larangannya)
mengenai perkara-perkara syariat adalah semuanya berupa pelajaran dan tiap-tiap pelajaran itu ada sahaja orang yang menerimanya.
Sebahagian besar dari
sahabat-sahabat Baginda menerima hadis-hadis itu dengan menghafaznya
dalam dada masing-masing. Dalam pada itu ada juga sahabat-sahabat yang pandai menulis, mereka tulis hadis-hadis itu setelah menerimanya dan Baginda. Tetapi walau bagaimanapun, bagi sahabat-sahabat Nabi, cara menghafaz hadis-hadis itu lebih teguh dari cara menulisnya, dan lebih terkawal dari kesilapan, kerana tabiat semula jadi orang-orang Arab itu kuat ingatan, tambahan pula mereka bersifat adil disebabkan kekuatan imannya.
Dari usaha sahabat-sahabat Baginda dalam hal penulisan hadis-hadis itu, maka banyaklah hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang telah terkumpul dalam tulisan pada masa hayat Baginda.
Mengenal masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda sila lihat lampiran (A).
Kedua - Baginda mengizinkan supaya hadis-hadisnya ditulis.
Penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. itu bukanlah dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda secara rahsia, tetapi dilakukan setelah mereka mendapat kebenaran dari Baginda. Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat keadilan
mereka, tidak melakukan sesuatu perkara yang berhubung dengan
hadis-hadis Rasulullah s.a.w. khasnya dan dengan perkara-perkara agama amnya, dengan tidak mendapat kebenaran dari Baginda.
Ketiga - Segala yang disampaikan oleh Baginda dari Allah Taala tetap benar.
Apa juga yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. tidak harus diragu-ragukan, kerana semuanya benar dan wajib diturut serta dijadikan pelajaran oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Nabi Muhammad s.a.w. dengan sifatnya seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah Taala untuk menyampaikan hukum-hukum Islam kepada umat manusia, sudah tentu dipeliharanya dari perkara-perkara yang boleh menghalangi tugasnya dan yang boleh merosakkan apa yang hendak disampaikannya itu.
Keempat - Anggapan berlakunya kesilapan pada penyampaian Baginda adalah tidak benar.
Ada
anggapan - dari pihak musuh-musuh Islam - bahawa apa yang diterangkan
oleh Rasulullah s.a.w. itu tak boleh dipegang dan tak boleh ditulis
semuanya, kerana Baginda, kata mereka, ada sifat-sifat yang boleh jadi tidak mesti betul segala yang diterangkan, seperti perasaan marah dan perasaan suka, sedang perasaan-perasaan ini kerap kali dapat mempengaruhi jiwa seseorang hingga tergelincir dari jalan yang betul.
Anggapan yang demikian telah timbul pada masa hayat Baginda lagi, dan Baginda sendiri telah menerangkan tentang salahnya anggapan itu, dengan menyuruh menulis apa yang Baginda sampaikan.
Anggapan yang nyata salahnya itu adalah secara langsung menyentuh kedudukan kerasulan Baginda, kerana sebarang keraguan tentang kebenaran kata-kata yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bermakna ragu-ragu terhadap kerasulan Baginda.
Ada juga anggapan bahawa kesilapan berlaku pada penyampaian Rasulullah s.a.w. dengan alasan Baginda pernah lupa.
Benar,
Baginda pernah lupa, tetapi dengan itu tidak boleh difaham bahawa
Baginda boleh berlaku lupa pada segala perkara yang hendak
disampaikannya. Lupa yang pernah terjadi ialah lupa yang diperintahkan
Baginda melakukannya untuk menimbulkan sesuatu hukum, seperti lupa Baginda dalam sembahyang dari membaca "Tahiyyat Awal" lalu menerbitkan hukum "Sujud Sahwi" secara amali.
Sayugia diingat, bahawa perkara yang tidak harus Rasulullah s.a.w. berlaku silap padanya ialah perkara-perkara yang dibawanya dari Allah Taala. Ada pun perkara-perkara keduniaan,
atau pun perkara-perkara kehidupan sehari-hari, boleh jadi Baginda
berlaku silap padanya dan boleh jadi Baginda tidak mengetahuinya,
sebagaimana Baginda sendiri pernah bersabda, maksudnya: "Kamu lebih mengetahui mengenai perkara-perkara keduniaan kamu."
"Perkara-perkara
keduniaan" itu ialah perkara-perkara yang dapat diketahui oleh manusia
dengan kajian sendiri, dengan tidak berdasarkan wahyu.
Mengenai perkara-perkara yang demikian, terpulanglah kepada seseorang
membuat kajian sendiri, atau mempelajari sendiri dengan apa cara dan
sejauh mana pun, asalkan tidak bertentang dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang telah sabit.
Tentang sabda Baginda: "Kamu lebih mengetahui mengenal
perkara perkara keduniaan kamu" itu - maka itu adalah untuk mengajar
manusia bahawa apa yang mereka gunakan dan cara-cara perusahaan dan alat-alat pertukangan terserahlah kepada pengetahuan dan pengalaman mereka, dan
Tuhan tidak menyekat atau melarang mereka menjalankannya selagi hukum-hukum syarak tidak dilanggar, dan akhlak yang mulia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya.
Tugas Rasulullah s.a.w. tidaklah seperti tugas guru-guru sekolah dan pakar-pakar perusahaan dan perindustrian. Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan untuk mengajar satu persatu mengenal ilmu pengetahuan yang berhubung dengan cara-cara mengambil faedah dan alam langit dan bumi serta segala isinya untuk kehidupan dunia. Kalau terdapat dalam apa yang disampaikan mengenai yang demikian maka itu hanyalah untuk dijadikan bukti yang menunjukkan wujudnya Allah Taala dan kekuasaanNya serta kebijaksanaan dan kemurahanNya.
Ada pun ilmu pengetahuan yang berkenaan dengan angkasa lepas meliputi matahari, bulan dan bintang; dan yang berhubung dengan bumi dan khazanah-khazanah yang terpendam di dalamnya; demikian juga ilmu pengetahuan yang
bersabit dengan pertanian, penternakan, perikanan dan sebagainya, maka
semuanya itu tidaklah termasuk dalam tugas Rasulullah s.a.w. untuk
menerangkan satu persatu bahkan terserahlah kepada manusia mencari dan
menyelidiknya, kerana Tuhan telah jadikan manusia berakal fikiran serta memberikannya tenaga dan usaha ikhtiar untuk mencapai pengetahuan dan kepandaian bagi mendapat kesempurnaan hidupnya.
Lampiran (A):
Penulisan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.:
Mengenai masalah penulisan hadis-hadis Nabi dalam zaman Baginda, ada beberapa hadis yang melarang menulisnya, dan ada pula beberapa hadis yang mengizinkan.
Di antara hadis-hadis yang melarang itu ialah:
Pertama - Dari Abu Said Al-Khudri r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu menulis (hadis-hadis)
dariku dan (dengan yang demikian) sesiapa yang telah menulis dariku
selain dari Al-Qur'an, maka hendaklah ia memadamnya .."
Kedua - Hadis dari Abu Said Al-Khudri juga, katanya: (Pada suatu hari) kami sedang duduk menulis apa yang kami dengar dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda keluar mendapatkan kami sambil bertanya: "Apa yang kamu tulis itu?" Kami menjawab:
"(Kami menulis) Apa yang telah kami dengar dari Rasulullah". (Mendengar
jawapan kami itu) Baginda bersabda, maksudnya: "Patutkah kamu menulis
(sesuatu yang lain) bersama-sama dengan kitab Allah (Al-Qur'an)? Tulislah kitab Allah itu
sahaja dan bersihkanlah dia (dari yang lainnya)." Maka kami pun
mengumpulkan (hadis-hadis Nabi) yang telah kami tulis itu pada satu tanah lapang, kemudian kami
membakarnya. Setelah itu kami bertanya kepada Baginda dengan berkata: "Ya Rasulullah! bolehkah kami menyampaikan hadis-hadis yang kami dengar dari tuan kepada orang lain?" "boleh" jawab Baginda.
Di antara hadis-hadis yang mengizinkan pula ialah:
Pertama - Hadis (Nombor 2) yang tersebut dalam bab ini.
Kedua
- Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Abu
Hurairah, r.a., katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. beroleh limpah kurnia Allah menguasai tanah suci Makkah al-Mukaramah, tampillah Baginda berpidato kepada orang ramai .. lalu bangun Abu Shah sambil berkata: "Bolehkah tuan (membenarkan sesiapa) menulis untukku (apa yang tuan sabdakan itu) Ya Rasulullah? " Baginda menjawab, maksudnya: "Tulislah kamu untuk Abu Shah."
Pendapat Sahabat-sahabat Nabi:
Dengan adanya hadis-hadis yang melarang dan mengizinkan itu, maka sahabat-sahabat Nabi tidak sekata mengenai masalah penulisan hadis-hadis Rasulullah s.a.w., tetapi kebanyakannya mengharuskan dan telah pun menulisnya.
Pendapat Alim Ulama':
Alim Ulama' dan Ahli Hadis
telah menyesuaikan di antara hadis-hadis yang melarang dan yang
mengizinkan penulisan hadis-hadis Nabi itu dengan beberapa cara dan alasan:
Pertama - Larangan itu adalah khas mengenai waktu turunnya Al-Qur'an kerana dibimbangkan Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya, dan hadis-hadis yang mengizinkan itu pula adalah untuk keadaan yang tidak dibimbangkan.
Kedua - Larangan itu adalah khas mengenal penulisan hadis bersama-sama Al-Qur'an pada satu lembaran, kerana biasanya mereka mendengar hadis yang mentafsirkan sesuatu ayat Qur'an maka dengan itu harus mereka akan terlangsung menulisnya bersama-sama kandungan ayat itu,
lalu mereka dilarang dari melakukan yang demikian kerana ditakuti
kesamaran. Tentang hadis-hadis yang mengizinkan pula maka itu hanyalah
untuk ditulis dalam lembaran yang berasingan yang tidak mengandungi sesuatu dari Al-Qur'an.
Ketiga - Bahawa larangan itu adalah khas mengenai penulisan Wahyu (Al-Qur'an) yang biasanya mereka tulis dalam lembaran-lembaran surat untuk disimpan di rumah Nabi s.a.w.; oleh itu, kalaulah mereka diharuskan menulis hadis nescaya Al-Qur'an akan bercampur baur dengan yang lainnya. Tetapi selain dari itu adalah diizinkan.
Keempat - Bahawa larangan itu adalah bagi orang yang dipercayai terselamat dari lupa, dan dipercayai tentang kekuatan ingatannya menghafaz apa yang didengarnya, serta ditakuti ia akan bergantung bulat-bulat kepada tulisan apabila ia menulis. Sebaliknya diizinkan bagi orang yang ditakuti lupanya.
Kelima - Hadis-hadis larangan itu mungkin sebahagian dari
hadis-hadis yang dimansuhkan oleh hadis-hadis yang lain; boleh jadi
pada mulanya Rasulullah s.a.w. melarang menulis sabda-sabdanya, kemudian
Baginda memandang patut ditulis kerana diketahui bahawa hadis-hadis
makin sehari bertambah jumlahnya dan tak dapat dihafaz.
No comments:
Post a Comment