Perbincangan ini menyambung artikel yang
lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila
membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu
sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang
tidak mematuhi syariat.
Gambaran negara yang islamik sebagai negara
yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud
adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang
kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud
hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran
keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang
merangkumi semua jenayah.
Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai
di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman
ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.
Seseorang muslim apabila berbicara
tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah
membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang
tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya
kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik
menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus
bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke
janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat
Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir
yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang
susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang
tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan
hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan
penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada
hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk
menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa
Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab
al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam
pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta
yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan
masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah
hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan
negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan
Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan
rakyat sendiri atau
‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat
Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan
hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin
Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang
tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah
manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul
disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk
dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah,
1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).
- Gambar Hiasan
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum;
pertama; dosa
yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina
dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku
itu sendiri.
Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam
keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri,
memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan
tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari
tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak
mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak
ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran.
Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah
kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan
kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari
kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman
tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak
dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”.
(Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub
al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti
privacy individu
akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang
yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran
perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di
sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘
spy’ dalam
mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah
dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah
kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang
penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti,
tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan,
tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang
kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah.
Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk
mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang
terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas
setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia,
pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak
boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma
pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba
ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ
sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada
sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau
tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah
Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa
pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang
telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu
mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan
mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta
sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang
hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar
yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja.
Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli
hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup
sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak
harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini”
(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar
mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau
berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan
diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada
Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah
s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan
engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci,
kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu.
Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman
had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan
lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa
kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam
al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘
mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘
penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam
al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad
yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar
barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu
berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan
moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua
perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan
memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum
tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan
takzir (
discretionary punishment).