PROGRAM
j-QAF : PERANAN DAN PERSEPSI GURU TERHADAP PELAKSANAANNYA DALAM MEMPERKASAKAN
PROGRAM DAKWAH DI SEKOLAH KEBANGSAAN
1.0 PENGENALAN
Dakwah adalah tugasan utama yang diperintahkan oleh
Allah kepada nabi Muhammad SAW dalam menyeru manusia ke arah kesejahteraan
dunia dan akhirat. Firman Allah di dalam surah an-Nahl ayat 125:
Maksudnya:
“Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
tuhanmu dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya,
dan dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk”.
Al-Quran telah
menjelaskan tiga metode dakwah yang menjadi teras dalam usaha pendekatan dakwah
iaitu metode al-Hikmah, al-Mauizah al-hasanah dan al-Mujadalah. Menariknya
ketiga-tiga metode di atas juga digunakan dalam dunia pendidikan. Jesteru itu,
salah satu cara yang paling efektif untuk berdakwah ialah melalui pendidikan.
Kerana pada hakikatnya, wujud satu persamaan di antara dakwah dan pendidikan
iaitu berlakunya proses pemindahan pengetahuan. Persamaan itu melahirkan
beberapa persamaan tujuan antara dakwah dan pendidikan iaitu “membentuk keperibadian muslim yang sejati” sebagai matlamat utama.
Pendidikan sebagai agen
perubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu
masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah
pengajaran, latihan dan indoktrinasi (Hassan Langgulung 1987). Oleh yang
demikian, proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan merupakan
salah satu proses dakwah terpenting, bahkan paling banyak memberi kesan dalam
pembentukan sahsiah pelajar tersebut.
Di Malaysia, Perdana
menteri Malaysia yang ke lima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan di bawah penyelarasan Kementerian Pelajaran
Malaysia yang mengandungi sepuluh teras asas. Dimulakan dengan pendahuluan,
sistem pendidikan kebangsaan sebagai perletakan asas, pendidikan kebangsaan
melangkah ke hadapan, membina negara bangsa, membangunkan modal insan,
memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan
profesion perguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, serta
faktor kritikal kejayaan (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006).
Selaras
dengan teras asas tersebut, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian
Pelajaran Malaysia telah lebih awal merealisasikan asas tersebut dengan menubuhkan
sebuah program pelajaran yang baru iaitu dinamakan program j-QAF. Program j-QAF
ini berasaskan idea Y.A.B.Perdana Menteri Malaysia yang telah dinyatakan
secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada
30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat Kementerian
Pelajaran melalui seminar , bengkel dan mesyuarat j-QAF (http://www.bpi.edu.my).
Program j-QAF
adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus
dalam pengajaran jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang telah
dilkasanakan diperingkat persekolahan rendah. Pelaksanaan program ini
menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Pelaksanaannya
menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada. Tenaga guru yang khusus
digunakan bagi mengendalikan program ini. Setelah program ini dilaksanakan
dengan baik dan berkesan semua murid Islam sekolah rendah akan dapat (ibid):
- Menguasai bacaan dan tulisan Jawi
- Khatam Al-Quran
- Menguasai Bahasa Arab dan
- Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain
Lima model
telah dikenalpasti iaitu 4 model pengajaran dan 1 model kokurikulum.
Model-model berkenaan adalah seperti berikut :
- Model Khas Pemulihan Jawi
- Model 6 bulan Khatam Al-Quran
- Model Tasmik
- Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi
- Model Bestari Solat
Kelas
Pemulihan Jawi dijalankan serentak dengan waktu pengajaran jawi murid-murid
biasa. Dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 1 Jawi diajar selama 2 seminggu.
Selepas itu ia diajar selama 1 waktu seminggu. Model 6 bulan Khatam Al-Quran
akan menggunakan waktu Pendidikan Islam sebanyak 4 waktu dalam tempoh 6 bulan
pertama waktu persekolahan. Pada masa yang sama murid yang belum menguasai
bacaan Al-Quran akan membaca dengan bimbingan guru dan meneruskan kaedah IQRA’.
Pada 6 bulan kedua, asuhan Tilawah Al-Quran menggunakan 3 waktu untuk tahun 1
dan 2 waktu untuk tahun 2 hingga 6. Model Tasmik Al-Quran dillaksanakan di luar
waktu persekolahan dengan bimbingan guru j-QAF, guru Pendidikan Islam dan
guru-guru lain yang berkelayakan dengan persetujuan pihak pentadbir sekolah.
Bacaan murid akan direkod oleh guru di dalam Buku Rekod Bacaan Al-Quran yang
dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Model Peluasan Pelaksanaan
Bahasa Arab Komunikasi akan dilaksanakan sepertimana pelaksanaan BAK sebagai
bahasa tambahan di SK pada masa ini, iaitu selama 2 waktu seminggu. Ia diajar
bersama-sama dengan mata Pelajaran Bahasa Cina Komunikasi dan Bahasa Tamil
Komunikasi. Model Bestari Solat akan dilaksanakan luar jadual waktu
persekolahan. Ia akan dilaksanakan 4 kali setahun (ibid).
Setelah
model-model itu dilaksanakan, maka wujud beberapa model tambahan lain yang
menyokong pelaksanaan model tersebut seperti Model Kem Literasi al-Quran dan Model
Kem Bina Juara. Seterusnya di dalam program j-QAF telah dilaksanakan acara
tahunan program dakwah j-QAF yang dinamakan program khatam al-Quran j-QAF.
Acara yang diperuntukkan di dalam program ini seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran,
Kalam Jamaie, Dikir Barat Bahasa Arab, serta Kuiz Jawi, Bahasa Arab dan Fardu
Ain. Semua acara pertandingan tersebut memerlukan pengetahuan dan penghayatan
yang mantap terhadap ilmu fardu ain, kemahiran membaca al-Quran dan jawi, serta
kemahiran asas bertutur bahasa arab.
2.0 PENYATAAN MASALAH
Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja
muslim semakin membimbangkan, di antara faktor yang mendorong kepada masalah
ini ialah faktor keluarga, rakan sebaya, keadaan persekitaran sekolah dan
terutamanya konflik dalaman diri remaja itu sendiri (Zainudin & Norazmah 2011)
dan faktor-faktor ini membawa kepada
perlanggaran disiplin disekolah seperti hisap rokok, bergaduh, vandalism,
biadap terhadap guru, ponteng dan masalah buli (Khalim & Wan Zulkifli 2009).
Faktor-faktor ini terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman seperti kekeliruan
dalam diri pelajar itu sendiri dan faktor luaran seperti persekitaran sekolah,
keluarga dan pengaruh rakan sebaya (Aswati 2007).
Ditambah pula dengan kekurangan
penghayatan agama seperti pengetahuan solat, kemahiran membaca al-Quran (Azhar
Ahmad & Halim Tamuri 2005), kemahiran membaca jawi dan pengetahuan asas
bahasa Arab dalam kalangan pelajar muslim semakin membimbangkan. Sering kali
dinyatakan bahawa masalah ini berpunca daripada kelemahan sistem Pendidikan Islam
di sekolah (Asmawati 2008) kurangnya perhatian dari ibu bapa, pengaruh rakan
sebaya (Zainudin & Norazmah 2011), ledakan media massa serta kemajuan
penggunaan internet yang tiada tapisan secara menyeluruh.
Kurang pengetahuan dan
penghayatan agama ini bukan sahaja dialami oleh pelajar diperingkat menengah
bahkan diperingkat pengajian tinggi pun turut terlibat dalam masalah ini. Maka Pendidikan
Islam di sekolah menengah tidak dapat menangani masalah ini secara menyeluruh. Di
Malaysia pelajar akan melalui beberapa peringkat pengajian yang dimulai dari
peringkat rendah, menengah dan seterusnya keperingkat pengajian tinggi. Jesteru
didikan awal diperingkat rendah adalah sangat penting dalam pembentukan asas
ilmu yang mantap.
Namun Pendidikan Islam
sedia ada di peringkat rendah tidak dapat berjalan dengan sempurna disebabkan
tuntutan kurikulumn, masa yang terhad (Aderi & Rohani 2010) dan kekurangan
guru Pendidikan Islam itu sendiri. Begitu juga apabila di nilai tahap
penghayatan agama adalah berbeza di antara beberapa jenis sekolah yang wujud
seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
(SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
dan Sekolah Menengah Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011).
Maka dengan inisiatif
kerajaan malaysia telah menubuhkan program j-QAF dengan beberapa matlamat
tertentu. Program j-QAF adalah suatu program baru yang ditubuhkan bagi
memperkasakan lagi program Pendidikan Islam disekolah rendah (SK, SJK)
diseluruh negara. Program ini ditubuhkan
bagi memantapkan lagi pencapaian pelajar dalam menguasai pengetahuan agama
secara lebih menyeluruh dalam pembentukan ilmu agama dan akhlak Islamiah yang
terpuji di samping dapat membantu guru Pendidikan Islam sedia ada disekolah.
Jesteru itu beberapa
modul telah diperkenalkan melalui program j-QAF. diantaranya Modul khatam al-Quran
yang mensasarkan semua murid wajib khatam al-Quran sebelum berpindah ke sekolah
menengah. Setelah modul ini berjalan selama 6 tahun iaitu dari tahun 2005
sehingga tahun 2011, tahap kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan murid
telah menunjukkan peningkatan yang baik (Fairus 2011). Begitu juga dengan Modul
Kem Bestari Solat j-QAF, menunjukkan peningkatan terhadap minat pelajar
menyertai program tersebut adalah baik menurut (Asmawati & Lokman 2009).
Namun tahap keberkesanan program ini masih belum dikaji secara menyeluruh. Tambahan
pula, program ini baru dilaksanakan dan memerlukan kajian yang terperinci untuk
proses penambahbaikan.
Oleh yang demikian
timbul beberapa persoalan di sini, apakah program j-QAF ini berperanan memberi
sumbangan dalam mengislahkan (menambah baik) lagi program “dakwah” yang sedia
ada di sekolah dan bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF
terhadap perlaksanaan program dakwah di sekolah serta sejauhmanakah
keberkesanannya terhadap pelajar dalam menguasai ilmu pengetahuan asas agama Islam.
3.0 PERSOALAN KAJIAN
- Apakah peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah.
- Bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap tahap perlaksanaan program dakwah disekolah.
- Sejauhmanakah tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN
- Mengetahui peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah.
- Mengenal pasti persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap perlaksanaan program dakwah disekolah.
- Menganalisis tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF (melalui data e-pelaporan j-QAF).
5.0 METODOLOGI KAJIAN
5.1 Reka bentuk kajian
Pengkaji menggunakan kaedah kajian tinjauan sebagai
reka bentuk kajian. Kajian tinjauan ini merupakan kajian infrensi yang
menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif. Data-data dipungut melalui borang
soal selidik, temu bual berstruktur dan rujukan maklumat dokumentasi.
5.2 Subjek kajian
Kajian ini dijalankan sekolah-sekolah kebangsaan Jerantut,
Pahang. Responden kajian ini adalah terdiri daripada guru Pendidikan Islam, j-QAF
dan Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut. Responden dipilih melalui kaedah
persampelan rawak mudah.
5.3 Instrumen kajian
Tiga instrumen digunakan dalam kajian ini.
- Borang soal selidik diedarkan kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF.
- Temu bual berstruktur dan bersemuka secara individu.
- e-pelaporan j-QAF yang mengandungi item tahap penguasaan Wudu’, Solat, Pencapaian Iqra’, Pencapaian Khatam Al-Quran dan Bahasa Arab.
5.4 Prosedur kajian
Prosedur pengumpulan data yang dilakukan melalui
borang soal selidik diisi oleh responden secara tidak serentak. Sebelum
pengisian borang soal selidik responden kajian diberikan penerangan tentang
cara pengisiannya. Masa pengisian borang soal selidik tidak dihadkan.
Seterusnya temu bual secara berstruktur dilakukan kepada dua orang pegawai
secara berasingan Masa yang diperuntukkan selama 30 minit setiap seorang dan
jawapan direkod secara bertulis dan melalui rakaman video. Data e-pelaporan
pula diambil dari 3 tahun ke belakang iaitu 2011, 2010 dan 2009. Data
e-pelaporan ini akan dirujuk dari data e-pelaporan j-QAF Pejabat Pelajaran
Daerah Jerantut.
5.5 Analisis data
Data daripada setiap item borang soal selidik yang
diisi oleh responden dikodkan dalam komputer dengan menggunakan program SPSS
18.0 (Statistic Package For Social Science). Data temu bual disusun
secara sistematik mengikut susunan soalan yang telah ditetapakan di dalam temu
bual tersebut. Manakala data e-pelaporan j-QAF dianalisis melalui perisian data
e-pelaporan 11.5. Data juga dipersembahkan di dalam bentuk jadual, graf dan
carta.
6.0 LIMITASI KAJIAN
Lokasi kajian ini hanya meliputi sekolah-sekolah
kebangsaan di daerah Jerantut Pahang. Responden terdiri daripada guru Pendidikan
Islam dan j-QAF serta Pegawai Pendidikan Islam dan j-QAF Pejabat Pelajaran
Daerah Jerantut. Item yang dikaji meliputi program dakwah dalam j-QAF sahaja.
7.0 TINJAUAN LITERATUR
Tinjauan literatur merupakan bahagian yang penting
dalam penyelidikan, di mana pengkaji membuat tinjauan ke atas kajian-kajian
lepas untuk memperolehi maklumat berkaitan dengan kajian (Chua 2006). Pengkaji
telah menemui beberapa kajian yang menjelaskan perkara yang berkaitan dalam
memperkemaskan lagi kajian yang akan dilaksanakan. Beberapa perkara penting
diambil kira dalam mencapai tujuan kajian ini yang menjadi faktor penting dalam
menilai peranan guru Pendidikan Islam j-QAF dari segi keberkesanan pendidikan
dakwah di sekolah dalam menangani masalah tersebut.
Di antaranya ialah
penjelasan mengenai keruntuhan akhlak remaja dan masalah disiplin (Zainudin
& Norazmah 2011; Khalim & wan zulkifli 2009; Aswati 2007) dalam
kalangan pelajar di malaysia. Seterusnya kajian yang menjelaskan tahap
penghayatan agama (Azhar & Halim Tamuri 2010; Adibah
2008; Sarimah et al. 2011; Ahmad Johari et al. 2008; Jaffary Awang et
al. 2009) dibeberapa peringkat pendidikan
seperti di peringkat universiti dan diperingkat menengah.
Tinjauan kajian juga
mendapati beberapa konsep dan pendekatan (Halim Tamuri & Khairul Azman
2010; Maimun & Roslan 2005) yang telah dilaksanakan sebagai garis panduan
kepada guru Pendidikan Islam disekolah serta peranan (Ismail Abas 2007; Baharom
et al. 2008; Amla Salleh & Abd. Aziz 2010; Sapora Sipon 1999) yang telah dimainkan oleh guru dalam mendidik
akhlak pelajar dan juga beberapa persepsi pelajar dan guru (Syed Najmuddin
2009; Othman Napiah (2010); Azhar & Nor syakirah (2010) terhadap
pelaksanaan Pendidikan Islam disekolah.
Seterusnya kajian yang menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF (Rafidah
2009; Ghazali 2007; Asmawati & Lokman 2009; Fairuz 2011) yang telah
ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia secara
umumnya. Berdasarkan penjelasan ringkas di atas maka kajian literatur ini boleh
dibahagikan kepada beberapa bahagian.
7.1 Faktor Keruntuhan
Akhlak dan Disiplin Pelajar.
Kajian
Aswati (2007) menjelaskan bahawa ada dua faktor yang menjadi impak besar dalam
pembentukan akhlak dikalangan orang Melayu iaitu Pertamanya; faktor luaran yang
secara jelasnya melibatkan faktor persekitaran sosial yang tidak membina
seperti pengaruh media massa dalam menyebarluaskan budaya hidup glamor,
budaya hiburan, nilai-nilai hidup materialistik. Kedua, faktor dalaman yang
melibatkan kekeliruan minda, kerapuhan pegangan agama dalam kalangan
masyarakat umum khususnya generasi muda dan sikap negatif terhadap
jaringan komunikasi dalam masyarakat.
Kajian ini disokong oleh Zainudin & Norazmah
(2011) yang menjelaskan Faktor-faktor yang mempengaruhi keruntuhan akhlak dalam
kalangan remaja disekolah ialah faktor latar belakang diri sendiri, faktor
latar belakang keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan
persekitaran dari sekolah yang merupakan faktor luaran. Dan seterusnya dapatan
kajian merumuskan bahawa faktor latar belakang diri sendiri paling mempengaruhi
remaja terlibat dengan masalah sosial yang merupakan faktor dalaman.
Khalim dan Wan Zulkifli (2009) menyatakan bahawa faktor-faktor
di atas adalah diluar kawalan sekolah dan amat rumit. Berdasarkan faktor-faktor
diatas juga, lahirlah beberapa masalah perlanggaran disiplin dalam kalangan
pelajar di peringkat remaja ini seperti menghisap rokok disekolah, bergaduh, vandalisme,
biadap terhadap guru, kes buli dan ponteng.
7.2 Tahap Pengetahuan dan Penhayatan
Agama.
Azhar
Ahmad dan Halim Tamuri (2010) menjelaskan bahawa tahap
penghayatan akhlak peribadi dalam kalangan pelajar sekolah menengah adalah
sederhana tinggi. Manakala analisis terperinci dari segi peratus kekerapan
penghayatan tingkahlaku kesemua jenis akhlak peribadi menunjukkan pola
penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis tingkahlaku akhlak peribadi
berbanding dengan beberapa jenis tingkahlaku akhlak yang lain.
Manakala kajian Ahmad Johari et al. (2009) pula
memfokuskan berkenaan tahap pengetahuan agama dan amalan agama serta gaya hidup
mahasiswa untuk dijadikan panduan kepada pihak pentadbiran universiti. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan agama dalam kalangan pelajar di UTM
adalah tinggi. Namun tahap penghayatan agama dari segi amalan mereka adalah
sederhana. Ini kerana mereka lebih menumpukan kepada ekademik dan kepimpinan
semata-mata dan hubungan pengetahuan agama dan amalannya adalah pada tahap yang
rendah.
Adibah (2008) di dalam kajiannya
menjelaskan bahawa tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar pada
peringkat tinggi ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor pendorong iaitu
seperti faktor dorongan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, tahap pembelajaran dan
persekitaran sekolah, pengaruh media massa, faktor idola serta suasana
masyarakat sekeliling. Namun hasil dari dapatan kajian ini telah menunjukkan
bahawa faktor idola adalah subjek yang paling tinggi mempengaruhi pelajar.
Perbezaan jenis sekolah juga telah
mempengaruhi tahap pengetahuan dan penghayatan agama dalam kalangan pelajar.
Seperti diselangor terdapat beberapa jenis sekolah yang berbeza latar belakang sistem
pembelajaran dan sukatan pelajarannya seperti Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah
Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah
Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011).
Kajian ini diperkukuhkan lagi oleh dapatan kajian
yang dibuat oleh Jaffary awang et al. (2009) yang menjelaskan bahawa tahap
pengetahuan, penghayatan dan amalan disekolah agama adalah lebih baik
berbanding dengan sekolah menengah harian biasa. Perbezaan ini terjadi
disebabkan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru disekolah
tersebut, seterusnya keseimbangan ilmu dunia dan akhirat serta budaya praktikal
amalan agama yang istiqamah.
7.3 Konsep dan Pendekatan Pendidikan Islam.
Pendidikan
Islam disekolah dilaksanakan dalam pelbagai bentuk pendekatan dan kaedah bagi
menarik minat dan kecenderungan terhadap amalan agama dan penghayatannya. Halim
Tamuri dan Khairul Azman (2010) telah membincangkan di dalam kajian mereka
mengenai amalan pengajaran guru Pendidikan Islam yang berkesan dan beberapa
komponen teras kesediaan yang perlu ada pada setiap guru Pendidikan Islam.
Perbincangan ini berasaskan kepada konsep “Mualim”. Guru Pendidikan Islam
seharusnya mempunyai 4 komponen asas yang menjadi syarat sebagai “Mualim”
berkesan iaitu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, penguasaan ilmu,
motivasi, dan personaliti sebagai guru Pendidikan Islam.
Seterusnya Kajian yang telah dijalankan dibeberapa
buah sekolah di brunei bagi mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang paling
popular yang selalu digunakan oleh guru-guru agama dan juga untuk mengenal
pasti kaedah-kaedah pengajaran yang berkesan di dalam pengajaran Pengetahuan
Agama Islam. Kajian ini mendapati beberapa kaedah pengajaran yang popular dan
kerap digunakan di dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam iaitu kaedah
penerangan, soal jawab, nasihat dan latih-tubi. Hasil utama kajian menunjukkan
bahawa kaedah-kaedah yang paling berkesan dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam
adalah kaedah nasihat, hafalan, bercerita dan lakonan. Sementara itu, aplikasi
kaedah-kaedah ini berkesan kepada kepelbagaian tingkah laku dan sahsiah pelajar
di antaranya, berfikir dengan cara Islamik, mendorong minat pembelajaran,
membantu pelajar mengamalkan ajaran-ajaran Islam, memperbaiki perangai dan
akhlak mereka, membantu pelajar dalam menilai dan menyerap nilai-nilai Islam
serta membina rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan
masyarakat. Selain daripada itu, dalam kajian ini mendapati pengajaran
guru-guru perempuan lebih berkesan daripada guru-guru lelaki (Maimun &
Roslan 2005).
7.4 Peranan Pendidikan
Islam, Guru dan Ibu bapa.
Seterusnya
tinjauan berkenaan peranan Pendidikan Islam dan guru dalam beberapa perspektif
dikenal pasti. Di antaranya Ismail Abas (2007) menjelaskan beberapa item yang
menunjukkan peranan guru dalam menghadapi gagasan 2020 dari gagasan yang
ketujuh. Di antaranya ialah peranan guru membina watak seseorang pelajar itu
dan menjadi guru yang berkualiti. Kajian ini seterusnya menjelaskan bahawa guru
seharusnya sedar dan peka terhadap amalan murid setelah pengetahuan diserap
kepada pelajar. Kefahaman dari segi amalan perlu diterapkan secara serius
sehingga pelajar itu betul-betul mahir (Abdul Halim Muhammady 1986). Guru juga seharusnya sedar bahawa selepas waktu
persekolahan murid akan berhadapan dengan masyarakat secara lebih luas dan
tiada kawalan.
Seterusnya diteliti kajian mengenai peranan Pendidikan
Islam dalam membentuk personaliti pelajar yang mencakupi aspek emosi, intelek,
rohani dan jasmani seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa tahap kefahaman mengenai pengetahuan Pendidikan Islam adalah
tinggi namun pelaksanaan nilai dalam kehidupan harian mereka adalah di tahap
sederhana. Namun di antara faktor yang mempengaruhi amalan dan nilai yang
diterapkan lebih menunjukkan pengaruh keluarga adalah memainkan peranan penting
(Baharom et al. 2008).
Bertepatan dengan
dapatan kajian di atas satu kajian yang dibuat oleh Sapora Sipon (2008) iaitu menjelaskan berkenaan peranan ibu bapa
dalam menangani masalah sosial remaja adalah paling penting. namun konflik yang
terjadi di antara ibu bapa juga menjadi faktor utama. Akibatnya lahirlah
beberapa kesan negatif kepada remaja yang membawa masalah sosial yang tinggi.
Maka beberapa cadangan diberikan bagi menangani konflik tersebut seperti
curahan kasih sayang yang secara menyeluruh, menyediakan suatu peruntukan masa
yang cukup kepada mereka (remaja), didisplin, rasa hormat, didikan yang sempurna
dan betul dan lain-lain.
Amla Salleh dan Abd.
Aziz (2010) menjelaskan mengenai peranan bapa dalam mempengaruhi pembangunan
sahsiah pelajar diperingkat remaja dari segi tanggungjawab ketua keluarga,
pencapaian akademik pelajar dan juga pandangan pelajar bagaimana tahap
komunikasi bapa dengan mereka. Seramai 468 pelajar digunakan dalam sampel
kajian ini. Penggunaan model asuhan bapa digunakan sebagai asas pengukuran di
dalam borang soal selidik.
7.5 Persepsi Pelajar dan Guru
Syed
Najmuddin (2009) dalam Kajiannya telah menjelaskan persepsi pelajar terhadap
kepimpinan guru Pendidikan Islam di MRSM. Penilaian tersebut terbahagi kepada
beberapa perkara iaitu imej dan personaliti guru Pendidikan Islam, tahap pengajaran
dan pembelajaran guru Pendidikan Islam, kepimpinan guru Pendidikan Islam serta
bagaimana tahap kemahiran interaksi mereka dengan pelajar. 1011 orang pelajar
terlibat di dalam kajian ini yang menggabungkan 10 buah MRSM diseluruh negara.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam adalah
tinggi. Dan penilaian kepada seluruh aspek yang dinilai di atas adalah pada
tahap yang tinggi.
Penilaian ini disokong dengan Kajian yang
menjelaskan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam dalam
pembangunan pendidikan mereka disekolah. Seramai 132 orang pelajar terlibat
sebagai responden dalam kajian ini. Pengkaji telah menggunakan kaedah analisis
statistik deskriptif bentuk kekerapan, peratusan min bagi menilai tahap
penilaian kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi pelajar adalah
secara positifnya tinggi dan bagi mereka mata pelajaran Pendidikan Islam adalah
suatu mata pelajaran yang penting (Othman 2008).
Seterusnya Azhar dan Nor Syakirah (2007) di dalam kajian
mereka telah menjelaskan persepsi guru Pendidikan Islam terhadap tanggungjawab
pelaksanaan etika profesion perguruan. Seramai 62 orang guru Pendidikan Islam
di kawasan Johor Bahru terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa pengamalan etika ini adalah tinggi terhadap rakan
sejawat dan seterusnya kepada ibu bapa, pelajar, masyarakat dan negara.
7.6 Konsep Pelaksanaan
Proram j-QAF.
Beberapa
kajian telah dibuat menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF di sekolah
kebangsaan di seluruh negara. Kajian dibuat di atas dasar menguji tahap
keberkesanan program tersebut serta mendapatkan pandangan dan persepsi jabatan
pendidikan, guru, murid dan ibu bapa terhadap pelaksanaan program tersebut.
Rafidah (2009) telah membuat kajian dalam
menjelaskan kaedah pelaksanaan j-QAF dan penguasaannya di Sk Seri Laksamana
Masjid Tanah Melaka. 90 orang pelajar telah terlibat sebagai sampel kajian yagn
diambil secara rawak berkelompok. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengetahuan
pelajar berkaitan dengan pelaksanaan program j-QAF disekolah tersebut pada
keseluruhannya adalah tinggi. Mereka juga dapat menguasai kemahiran yang di
ajar pada tahap sederhana tinggi.
Seterusnya kajian berkaitan status pelaksanaan
program j-QAF di institut perguruan juga dilaksanakan. Sampel terdiri daripada
834 orang guru j-QAF yang sedang mengikuti pengajian secara KDC, sedang
berkhidmat di sekolah rendah seluruh negara dan 40 orang pensyarah j-QAF yang
bertugas di institut perguruan. Hasil kajian menunjukkan pensyarah j-QAF
menyatakan pemilihan guru j-QAF adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Modul
yang dibekalkan dapat membantu pensyarah melaksanakan tugas pengajaran kepada
guru j-QAF. Guru j-QAF harus mempertingkatkan komitmen mereka kerana min item
yang berkaitan dengan kepatuhan terhadap tugasan, ketepatan masa dan
penyempurnaan tugasan institut agak rendah, jangka masa kursus program j-QAF
perlu disemak semula. Guru pelatih menyatakan terdapat tugas-tugas tambahan
seperti guru ganti, menjaga kebersihan sekolah, menyediakan pentas bagi acara
rasmi, mengawas disiplin murid, menceriakan bilik darjah dan menganggotai ahli
jawatankuasa, namun tidaklah kerap sangat dilaksanakan (Ghazali 2007).
Kajian mengenai beberapa program dakwah j-QAF juga
telah dilaksanakan dengan mengambil sebahagian dari program tersebut seperti Asmawati
dan Lokman (2009) mengkaji mengenai keberkesanan pelaksanaan Kem Bestari Solat j-QAF
yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia.
Seramai 309 orang guru j-QAF di Selangor terlibat sebagai responden di dalam
kajian ini. Secara keseluruhannya menunjukkan bahawa pelajar berminat mengikuti
aktiviti Kem Bestari Solat ini dengan baik.
Fairus (2011) menjelaskan mengenai tahap pencapaian
Literasi al-Quran pelajar yang melalui Program Khatam al-Quran j-QAF. Tahap kebolehan
membaca al-Quran berdasarkan jantina juga dinilai dalam kajian ini berdasarkan
skor markah yang diperolehi. Seramai 3443 pelajar telibat dalam kajian ini.
Dapatan kajian 81% murid tahun enam telah menguasai bacaan al-Quran pada tahap
memuaskan dan selebih menguasai mengikut bacaan guru. Namun 0.78% murid tidak
dapat menghabiskan sukatan khatam al-Quran ini.
8.0 KERANGKA TEORITIKAL
Model
program dakwah j-QAF adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Islam untuk
melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah terpuji sebagai hamba Allah. Program
dakwah j-QAF merupakan satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran
dan penghayatan Islam melalui modul khatam al-Quran dan Kem Bestari Solat bagi
memantapkan akidah, ibadah dan akhlak dalam membentuk sahsiah terpuji dan dapat membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan
negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Proses pendidikan melalui program dakwah j-QAF ini dapat digambarkan seperti
rajah berikut.
Rajah 1 : Model Program Dakwah j-QAF
(Diubahsuai dari Falsafah Pendidikan Islam)
9.0
SIGNIFIKAN KAJIAN
Penemuan
daripada hasil kajian ini diharapkan dapat menunjukkan tahap keberkesanan
program j-QAF di Daerah Jerantut, Pahang. Pengkaji juga cuba untuk mengetahui
persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF serta pegawai pelajaran daerah
terhadap pelaksanaan program dakwah j-QAF di sekolah rendah. Dapatan dari
persepsi ini juga dapat memberi maklumat kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF
mengenai proses dakwah disekolah serta dapat menilai tahap pengajaran yang
telah mereka laksanakan disekolah.
Kajian ini seterusnya boleh memberi
input yang sangat berguna kepada warga jabatan, khususnya Bahagian Pendidikan Islam,
Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sumber rujukan untuk mengislahkan
program dakwah dalam Pendidikan Islam agar tahap keciciran pelajar Islam
mengenai pengetahuan agama mencapai tahap “sifar cicir”.
10.0 KESIMPULAN
Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja umat Islam
seluruh dunia semakin membimbangkan. Bertapa dahsyatnya pengaruh yang dibawa
oleh musuh Islam terutamanya pengaruh media massa dari barat yang telah membawa
satu budaya songsang menjelajahi negara umat Islam. Keadaan ini adalah
disebabkan kelemahan umat Islam itu sendiri. Pengetahuan umat Islam yang
terlalu lemah terutamanya pengetahuan agama Islam itu sendiri. Para ulamak dan
cendikiawan Islam sedar sesungguhnya peranan pendidikan dalam gerakan dakwah Islam
adalah pendekatan yang paling utama dan secara menyeluruhnya dakwah itu adalah
pendidikan. Jesteru itu, pendidikan awal umat Islam adalah satu usaha yang
sangat perlu diambil berat kerana ia merupakan pembentukan asas dan teras yang
kukuh kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran global yang hanya mendidik
manusia mengejar kepada kemajuan keduniaan semata-mata. Pengetahuan dan
pengamalan solat amatlah penting kepada pembentukan jati diri yang teguh dalam
kalangan kanak-kanak Islam. Begitu juga dengan kemahiran membaca al-Quran, sepatutnya
tidak wujud umat Islam yang buta huruf dalam membaca al-Quran terutamanya
manusia di zaman ini yang telah mempunyai pelbagai alat dan cara untuk
memudahkan pengusaan al-Quran.
RUJUKAN
Al-Quran.
Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul
Azman Ajuhary. 2010. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berkesan
Berteraskan Konsep Mu’allim. . Journal Of Islamic And Arabic Education
2(1), 43-56.
Adibah Mat Jusoh. 2008. Faktor
Pendorong Penghayatan Agama Dalam Kalangan Pelajar Islam Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda Sains serta Pendidikan,
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Johari Sihes, Abdul Rahim Hamdan,
Jamaluddin Ramli, Nor Salis Samingan. 2010. Pengaruh Pengetahuan Agama ke
Atas Amalan Agama dan Gaya Hidup Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia.
Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Amla Salleh,
Zahara Aziz, Zuria Mahmud & Abd. Aziz Mahyuddin. 2010. Peranan Bapa
dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan.
Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2)(2010): 9-17.
Asmawati Suhid & Lukman Abdul
Mutalib. 2009. Tinjauan Terhadap Pelaksanaan Kem Bestari Solat. Journal
Of Islamic And Arabic Education 1(1) 15-28.
Aswati Hamzah. 2007. Satu Kajian
Skema Taakulan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar Melayu. Tesis Dr. Fal, Pusat
Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia.
Azhar Ahmad & Ab. Halim Tamuri.
2005. Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah. Journal Of Islamic
And Arabic Education.
Azhar Muhammad & Nor Syakirah
Samsuni. 2010. Persepsi Guru Pendidikan Islam Terhadap Tanggungjawab
Pelaksanaan Etika Profesion Perguruan. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Baharom Mohamad, Ali Suradin, Za’aba
Helmi Khamisan. 2008. Peranan Pendidikan Islam Dan Pendidikan Moral Dalam
Membina Sahsiah Pelajar Berkualiti. Persidangan Pembangunan Pelajar
Peringkat Kebangsaan 2008 Universiti Teknologi Malaysia.
Chua, Yan Piaw. 2006. Kaedah dan
Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill (Malaysia) Sdn.Bhd.
Fairuz Samsudin. 2011. Tahap
Pencapaian Murid-Murid Tahun Enam Dalam Modul Khatam Al-Quran j-QAF Satu Kajian
Di Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Muda Yan. Tesis Sarjana Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Bahasa, Universiti Terbuka Malaysia.
Ghazali
Darusalam. 2007. Pelaksanaan Program j-QAF Mengikut Persepsi Pensyarah dan
Pelajar. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor,
Jilid 10, 2007.
Ismail Abas. 2007. Peranan Guru
Membina Murid Menghadapi Cabaran 2020. Jurnal Penyelidikan Pendidikan
Institut Perguruan Islam, Selangor, Jilid 10, 2007.
Jaffary Awang, Rozmi Ismail, Kamaruddin
Salleh, Hairunnizam Wahid. 2009. Sosialisasi Agama Di Kalangan
Pelajar-Pelajar Sekolah Agama Di Selangor. Kumpulan Kajian Dunia Melayu
& Islam Institut Alam dan tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Khalim zainal & wan zulkifli wan
hassan. 2009. Pendekatan Islam Dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam
Kalangan Pelajar Sekolah: Satu Kajian Kes. Journal Of Islamic And Arabic
Education 1(2) 2009, 1-14.
Maimun Aqsha Lubis & Roslan Aspar.
2005. Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam Di Brunei Darussalam.
Jurnal Pendidikan 30, 141-150.
Mohd Aderi Che Noh & Rohani Ahmad
Tarmizi. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Amalan Pengajaran Tilawah Al-Quran.
Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1)(2009): 93 – 109.
Othman
Napiah & Munada Mohamad Rodi. 2010. Persepsi Pelajar
Sekolah Agama Terhadap Mata Pelajaran Pendidikan Islam : Kajian Di Sekolah
Menengah Al-Amin Gombak. Selangor Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi
Malaysia.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Rafidah
Muhamad Noor. 2009. Kaedah Pelaksanaan Program j-QAF Dan
Penguasaannya Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, Masjid
Tanah, Melaka. Tesis Sarjana Muda Sains Serta
Pendidikan (Pengajian Islam) Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Sapora Sipon. 1999. Peranan Ibu Bapa
Dalam Menangani Masalah Sosial Remaja. Dlm. Peranan Psikologi Dalam Masyarakat
Malaysia Semasa. Jabatan Kemajuan Negeri Cawangan Sabah.
Sarimah Mokhtar, Mohd Kashfi Mohd
Jailani, Ab. Halim Tamuri, Kamarulzaman Abdul Ghani. 2011. Kajian Persepsi
Penghayatan Akhlak Islam Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Diselangor.
Gjat | December 2011 | Vol 1 Issue 1 Issn : 2232-0474 | E-Issn : 2232-0482.
Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab. Halim
Tamuri, Isahak Othaman, Mohd. Sabri Mamat. 2009. Kajian Persepsi Pelajar
Terhadap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam MRSM. Journal of Islamic and
Arabic Education 1(2), 2009 31-50.
Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad
Roslan. 2011. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah
Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal of Education
Psychology & Counseling, volume 1 Mac 2011, Pages 115-140 / ISSN: 2231-735X.
No comments:
Post a Comment