Monday, 7 May 2012

PENYELIDIKAN KEBERKESANAN j-QAF


PROGRAM j-QAF : PERANAN DAN PERSEPSI GURU TERHADAP PELAKSANAANNYA DALAM MEMPERKASAKAN PROGRAM DAKWAH DI SEKOLAH KEBANGSAAN
1.0 PENGENALAN
Dakwah adalah tugasan utama yang diperintahkan oleh Allah kepada nabi Muhammad SAW dalam menyeru manusia ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Firman Allah di dalam surah an-Nahl ayat 125:  
Maksudnya:
“Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhanmu dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.
Al-Quran telah menjelaskan tiga metode dakwah yang menjadi teras dalam usaha pendekatan dakwah iaitu metode al-Hikmah, al-Mauizah al-hasanah dan al-Mujadalah. Menariknya ketiga-tiga metode di atas juga digunakan dalam dunia pendidikan. Jesteru itu, salah satu cara yang paling efektif untuk berdakwah ialah melalui pendidikan. Kerana pada hakikatnya, wujud satu persamaan di antara dakwah dan pendidikan iaitu berlakunya proses pemindahan pengetahuan. Persamaan itu melahirkan beberapa persamaan tujuan antara dakwah dan pendidikan iaitu “membentuk keperibadian muslim yang sejati” sebagai matlamat utama.
Pendidikan sebagai agen perubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi (Hassan Langgulung 1987). Oleh yang demikian, proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan merupakan salah satu proses dakwah terpenting, bahkan paling banyak memberi kesan dalam pembentukan sahsiah pelajar tersebut.
Di Malaysia, Perdana menteri Malaysia yang ke lima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di bawah penyelarasan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengandungi sepuluh teras asas. Dimulakan dengan pendahuluan, sistem pendidikan kebangsaan sebagai perletakan asas, pendidikan kebangsaan melangkah ke hadapan, membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion perguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, serta faktor kritikal kejayaan (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006).  
            Selaras dengan teras asas tersebut, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia telah lebih awal merealisasikan asas tersebut dengan menubuhkan sebuah program pelajaran yang baru iaitu dinamakan program j-QAF. Program j-QAF ini berasaskan idea Y.A.B.Perdana Menteri Malaysia yang telah dinyatakan secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat Kementerian Pelajaran melalui seminar , bengkel dan mesyuarat j-QAF (http://www.bpi.edu.my).
Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang telah dilkasanakan diperingkat persekolahan rendah. Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada. Tenaga guru yang khusus digunakan bagi mengendalikan program ini. Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan semua murid Islam sekolah rendah akan dapat (ibid):
  1. Menguasai bacaan dan tulisan Jawi
  2. Khatam Al-Quran
  3. Menguasai Bahasa Arab dan
  4. Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain

Lima model telah dikenalpasti iaitu 4 model pengajaran dan 1 model kokurikulum. Model-model berkenaan adalah seperti berikut :
  • Model Khas Pemulihan Jawi
  • Model 6 bulan Khatam Al-Quran
  • Model Tasmik
  • Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi
  • Model Bestari Solat
Kelas Pemulihan Jawi dijalankan serentak dengan waktu pengajaran jawi murid-murid biasa. Dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 1 Jawi diajar selama 2 seminggu. Selepas itu ia diajar selama 1 waktu seminggu. Model 6 bulan Khatam Al-Quran akan menggunakan waktu Pendidikan Islam sebanyak 4 waktu dalam tempoh 6 bulan pertama waktu persekolahan. Pada masa yang sama murid yang belum menguasai bacaan Al-Quran akan membaca dengan bimbingan guru dan meneruskan kaedah IQRA’. Pada 6 bulan kedua, asuhan Tilawah Al-Quran menggunakan 3 waktu untuk tahun 1 dan 2 waktu untuk tahun 2 hingga 6. Model Tasmik Al-Quran dillaksanakan di luar waktu persekolahan dengan bimbingan guru j-QAF, guru Pendidikan Islam dan guru-guru lain yang berkelayakan dengan persetujuan pihak pentadbir sekolah. Bacaan murid akan direkod oleh guru di dalam Buku Rekod Bacaan Al-Quran yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Model Peluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi akan dilaksanakan sepertimana pelaksanaan BAK sebagai bahasa tambahan di SK pada masa ini, iaitu selama 2 waktu seminggu. Ia diajar bersama-sama dengan mata Pelajaran Bahasa Cina Komunikasi dan Bahasa Tamil Komunikasi. Model Bestari Solat akan dilaksanakan luar jadual waktu persekolahan. Ia akan dilaksanakan 4 kali setahun (ibid).
Setelah model-model itu dilaksanakan, maka wujud beberapa model tambahan lain yang menyokong pelaksanaan model tersebut seperti Model Kem Literasi al-Quran dan Model Kem Bina Juara. Seterusnya di dalam program j-QAF telah dilaksanakan acara tahunan program dakwah j-QAF yang dinamakan program khatam al-Quran j-QAF. Acara yang diperuntukkan di dalam program ini seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran, Kalam Jamaie, Dikir Barat Bahasa Arab, serta Kuiz Jawi, Bahasa Arab dan Fardu Ain. Semua acara pertandingan tersebut memerlukan pengetahuan dan penghayatan yang mantap terhadap ilmu fardu ain, kemahiran membaca al-Quran dan jawi, serta kemahiran asas bertutur bahasa arab.
2.0 PENYATAAN MASALAH
Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja muslim semakin membimbangkan, di antara faktor yang mendorong kepada masalah ini ialah faktor keluarga, rakan sebaya, keadaan persekitaran sekolah dan terutamanya konflik dalaman diri remaja itu sendiri (Zainudin & Norazmah 2011)  dan faktor-faktor ini membawa kepada perlanggaran disiplin disekolah seperti hisap rokok, bergaduh, vandalism, biadap terhadap guru, ponteng dan masalah buli (Khalim & Wan Zulkifli 2009). Faktor-faktor ini terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman seperti kekeliruan dalam diri pelajar itu sendiri dan faktor luaran seperti persekitaran sekolah, keluarga dan pengaruh rakan sebaya (Aswati 2007).
Ditambah pula dengan kekurangan penghayatan agama seperti pengetahuan solat, kemahiran membaca al-Quran (Azhar Ahmad & Halim Tamuri 2005), kemahiran membaca jawi dan pengetahuan asas bahasa Arab dalam kalangan pelajar muslim semakin membimbangkan. Sering kali dinyatakan bahawa masalah ini berpunca daripada kelemahan sistem Pendidikan Islam di sekolah (Asmawati 2008) kurangnya perhatian dari ibu bapa, pengaruh rakan sebaya (Zainudin & Norazmah 2011), ledakan media massa serta kemajuan penggunaan internet yang tiada tapisan secara menyeluruh.
Kurang pengetahuan dan penghayatan agama ini bukan sahaja dialami oleh pelajar diperingkat menengah bahkan diperingkat pengajian tinggi pun turut terlibat dalam masalah ini. Maka Pendidikan Islam di sekolah menengah tidak dapat menangani masalah ini secara menyeluruh. Di Malaysia pelajar akan melalui beberapa peringkat pengajian yang dimulai dari peringkat rendah, menengah dan seterusnya keperingkat pengajian tinggi. Jesteru didikan awal diperingkat rendah adalah sangat penting dalam pembentukan asas ilmu yang mantap.
Namun Pendidikan Islam sedia ada di peringkat rendah tidak dapat berjalan dengan sempurna disebabkan tuntutan kurikulumn, masa yang terhad (Aderi & Rohani 2010) dan kekurangan guru Pendidikan Islam itu sendiri. Begitu juga apabila di nilai tahap penghayatan agama adalah berbeza di antara beberapa jenis sekolah yang wujud seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011).
Maka dengan inisiatif kerajaan malaysia telah menubuhkan program j-QAF dengan beberapa matlamat tertentu. Program j-QAF adalah suatu program baru yang ditubuhkan bagi memperkasakan lagi program Pendidikan Islam disekolah rendah (SK, SJK) diseluruh negara.  Program ini ditubuhkan bagi memantapkan lagi pencapaian pelajar dalam menguasai pengetahuan agama secara lebih menyeluruh dalam pembentukan ilmu agama dan akhlak Islamiah yang terpuji di samping dapat membantu guru Pendidikan Islam sedia ada disekolah.
Jesteru itu beberapa modul telah diperkenalkan melalui program j-QAF. diantaranya Modul khatam al-Quran yang mensasarkan semua murid wajib khatam al-Quran sebelum berpindah ke sekolah menengah. Setelah modul ini berjalan selama 6 tahun iaitu dari tahun 2005 sehingga tahun 2011, tahap kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan murid telah menunjukkan peningkatan yang baik (Fairus 2011). Begitu juga dengan Modul Kem Bestari Solat j-QAF, menunjukkan peningkatan terhadap minat pelajar menyertai program tersebut adalah baik menurut (Asmawati & Lokman 2009). Namun tahap keberkesanan program ini masih belum dikaji secara menyeluruh. Tambahan pula, program ini baru dilaksanakan dan memerlukan kajian yang terperinci untuk proses penambahbaikan.
Oleh yang demikian timbul beberapa persoalan di sini, apakah program j-QAF ini berperanan memberi sumbangan dalam mengislahkan (menambah baik) lagi program “dakwah” yang sedia ada di sekolah dan bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap perlaksanaan program dakwah di sekolah serta sejauhmanakah keberkesanannya terhadap pelajar dalam menguasai ilmu pengetahuan asas agama Islam.




3.0 PERSOALAN KAJIAN
  1. Apakah peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah.
  2. Bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap tahap perlaksanaan program dakwah disekolah.
  3. Sejauhmanakah tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN
  1. Mengetahui peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah.
  2. Mengenal pasti persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap perlaksanaan program dakwah disekolah.
  3. Menganalisis tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF (melalui data e-pelaporan j-QAF).
5.0 METODOLOGI KAJIAN
5.1 Reka bentuk kajian
Pengkaji menggunakan kaedah kajian tinjauan sebagai reka bentuk kajian. Kajian tinjauan ini merupakan kajian infrensi yang menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif. Data-data dipungut melalui borang soal selidik, temu bual berstruktur dan rujukan maklumat dokumentasi.  
5.2 Subjek kajian
Kajian ini dijalankan sekolah-sekolah kebangsaan Jerantut, Pahang. Responden kajian ini adalah terdiri daripada guru Pendidikan Islam, j-QAF dan Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut. Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak mudah. 
5.3 Instrumen kajian
Tiga instrumen digunakan dalam kajian ini.
  1. Borang soal selidik diedarkan kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF.
  2. Temu bual berstruktur dan bersemuka secara  individu.
  3. e-pelaporan j-QAF yang mengandungi item tahap penguasaan Wudu’, Solat, Pencapaian Iqra’, Pencapaian Khatam Al-Quran dan Bahasa Arab.
5.4 Prosedur kajian
Prosedur pengumpulan data yang dilakukan melalui borang soal selidik diisi oleh responden secara tidak serentak. Sebelum pengisian borang soal selidik responden kajian diberikan penerangan tentang cara pengisiannya. Masa pengisian borang soal selidik tidak dihadkan. Seterusnya temu bual secara berstruktur dilakukan kepada dua orang pegawai secara berasingan Masa yang diperuntukkan selama 30 minit setiap seorang dan jawapan direkod secara bertulis dan melalui rakaman video. Data e-pelaporan pula diambil dari 3 tahun ke belakang iaitu 2011, 2010 dan 2009. Data e-pelaporan ini akan dirujuk dari data e-pelaporan j-QAF Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut.
5.5 Analisis data
Data daripada setiap item borang soal selidik yang diisi oleh responden dikodkan dalam komputer dengan menggunakan program SPSS 18.0 (Statistic Package For Social Science). Data temu bual disusun secara sistematik mengikut susunan soalan yang telah ditetapakan di dalam temu bual tersebut. Manakala data e-pelaporan j-QAF dianalisis melalui perisian data e-pelaporan 11.5. Data juga dipersembahkan di dalam bentuk jadual, graf dan carta.
6.0 LIMITASI KAJIAN
Lokasi kajian ini hanya meliputi sekolah-sekolah kebangsaan di daerah Jerantut Pahang. Responden terdiri daripada guru Pendidikan Islam dan j-QAF serta Pegawai Pendidikan Islam dan j-QAF Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut. Item yang dikaji meliputi program dakwah dalam j-QAF sahaja.
7.0 TINJAUAN LITERATUR
Tinjauan literatur merupakan bahagian yang penting dalam penyelidikan, di mana pengkaji membuat tinjauan ke atas kajian-kajian lepas untuk memperolehi maklumat berkaitan dengan kajian (Chua 2006). Pengkaji telah menemui beberapa kajian yang menjelaskan perkara yang berkaitan dalam memperkemaskan lagi kajian yang akan dilaksanakan. Beberapa perkara penting diambil kira dalam mencapai tujuan kajian ini yang menjadi faktor penting dalam menilai peranan guru Pendidikan Islam j-QAF dari segi keberkesanan pendidikan dakwah di sekolah dalam menangani masalah tersebut.
Di antaranya ialah penjelasan mengenai keruntuhan akhlak remaja dan masalah disiplin (Zainudin & Norazmah 2011; Khalim & wan zulkifli 2009; Aswati 2007) dalam kalangan pelajar di malaysia. Seterusnya kajian yang menjelaskan tahap penghayatan agama (Azhar & Halim Tamuri 2010; Adibah 2008; Sarimah et al. 2011; Ahmad Johari et al. 2008; Jaffary Awang et al. 2009) dibeberapa peringkat pendidikan seperti di peringkat universiti dan diperingkat menengah.
Tinjauan kajian juga mendapati beberapa konsep dan pendekatan (Halim Tamuri & Khairul Azman 2010; Maimun & Roslan 2005) yang telah dilaksanakan sebagai garis panduan kepada guru Pendidikan Islam disekolah serta peranan (Ismail Abas 2007; Baharom et al. 2008; Amla Salleh & Abd. Aziz 2010; Sapora Sipon 1999)  yang telah dimainkan oleh guru dalam mendidik akhlak pelajar dan juga beberapa persepsi pelajar dan guru (Syed Najmuddin 2009; Othman Napiah (2010); Azhar & Nor syakirah (2010) terhadap pelaksanaan  Pendidikan Islam disekolah. Seterusnya kajian yang menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF (Rafidah 2009; Ghazali 2007; Asmawati & Lokman 2009; Fairuz 2011) yang telah ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia secara umumnya. Berdasarkan penjelasan ringkas di atas maka kajian literatur ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian.


7.1 Faktor Keruntuhan Akhlak dan Disiplin Pelajar.
Kajian Aswati (2007) menjelaskan bahawa ada dua faktor yang menjadi impak besar dalam pembentukan akhlak dikalangan orang Melayu iaitu Pertamanya; faktor luaran yang secara jelasnya melibatkan faktor persekitaran sosial yang tidak membina seperti pengaruh media massa dalam menyebarluaskan budaya hidup glamor, budaya hiburan, nilai-nilai hidup materialistik. Kedua, faktor dalaman yang melibatkan kekeliruan minda, kerapuhan pegangan agama dalam kalangan masyarakat umum khususnya generasi muda dan sikap negatif terhadap jaringan komunikasi dalam masyarakat.
Kajian ini disokong oleh Zainudin & Norazmah (2011) yang menjelaskan Faktor-faktor yang mempengaruhi keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja disekolah ialah faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran dari sekolah yang merupakan faktor luaran. Dan seterusnya dapatan kajian merumuskan bahawa faktor latar belakang diri sendiri paling mempengaruhi remaja terlibat dengan masalah sosial yang merupakan faktor dalaman.
Khalim dan Wan Zulkifli (2009) menyatakan bahawa faktor-faktor di atas adalah diluar kawalan sekolah dan amat rumit. Berdasarkan faktor-faktor diatas juga, lahirlah beberapa masalah perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar di peringkat remaja ini seperti menghisap rokok disekolah, bergaduh, vandalisme, biadap terhadap guru, kes buli dan ponteng.
7.2 Tahap Pengetahuan dan Penhayatan Agama.
Azhar Ahmad dan Halim Tamuri (2010) menjelaskan bahawa tahap penghayatan akhlak peribadi dalam kalangan pelajar sekolah menengah adalah sederhana tinggi. Manakala analisis terperinci dari segi peratus kekerapan penghayatan tingkahlaku kesemua jenis akhlak peribadi menunjukkan pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis tingkahlaku akhlak peribadi berbanding dengan beberapa jenis tingkahlaku akhlak yang lain.
Manakala kajian Ahmad Johari et al. (2009) pula memfokuskan berkenaan tahap pengetahuan agama dan amalan agama serta gaya hidup mahasiswa untuk dijadikan panduan kepada pihak pentadbiran universiti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan agama dalam kalangan pelajar di UTM adalah tinggi. Namun tahap penghayatan agama dari segi amalan mereka adalah sederhana. Ini kerana mereka lebih menumpukan kepada ekademik dan kepimpinan semata-mata dan hubungan pengetahuan agama dan amalannya adalah pada tahap yang rendah.
Adibah (2008) di dalam kajiannya menjelaskan bahawa tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar pada peringkat tinggi ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor pendorong iaitu seperti faktor dorongan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, tahap pembelajaran dan persekitaran sekolah, pengaruh media massa, faktor idola serta suasana masyarakat sekeliling. Namun hasil dari dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa faktor idola adalah subjek yang paling tinggi mempengaruhi pelajar.
Perbezaan jenis sekolah juga telah mempengaruhi tahap pengetahuan dan penghayatan agama dalam kalangan pelajar. Seperti diselangor terdapat beberapa jenis sekolah yang berbeza latar belakang sistem pembelajaran dan sukatan pelajarannya seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011).
Kajian ini diperkukuhkan lagi oleh dapatan kajian yang dibuat oleh Jaffary awang et al. (2009) yang menjelaskan bahawa tahap pengetahuan, penghayatan dan amalan disekolah agama adalah lebih baik berbanding dengan sekolah menengah harian biasa. Perbezaan ini terjadi disebabkan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru disekolah tersebut, seterusnya keseimbangan ilmu dunia dan akhirat serta budaya praktikal amalan agama yang istiqamah.
7.3 Konsep dan Pendekatan Pendidikan Islam.
Pendidikan Islam disekolah dilaksanakan dalam pelbagai bentuk pendekatan dan kaedah bagi menarik minat dan kecenderungan terhadap amalan agama dan penghayatannya. Halim Tamuri dan Khairul Azman (2010) telah membincangkan di dalam kajian mereka mengenai amalan pengajaran guru Pendidikan Islam yang berkesan dan beberapa komponen teras kesediaan yang perlu ada pada setiap guru Pendidikan Islam. Perbincangan ini berasaskan kepada konsep “Mualim”. Guru Pendidikan Islam seharusnya mempunyai 4 komponen asas yang menjadi syarat sebagai “Mualim” berkesan iaitu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, penguasaan ilmu, motivasi, dan personaliti sebagai guru Pendidikan Islam.
Seterusnya Kajian yang telah dijalankan dibeberapa buah sekolah di brunei bagi mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang paling popular yang selalu digunakan oleh guru-guru agama dan juga untuk mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang berkesan di dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam. Kajian ini mendapati beberapa kaedah pengajaran yang popular dan kerap digunakan di dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam iaitu kaedah penerangan, soal jawab, nasihat dan latih-tubi. Hasil utama kajian menunjukkan bahawa kaedah-kaedah yang paling berkesan dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam adalah kaedah nasihat, hafalan, bercerita dan lakonan. Sementara itu, aplikasi kaedah-kaedah ini berkesan kepada kepelbagaian tingkah laku dan sahsiah pelajar di antaranya, berfikir dengan cara Islamik, mendorong minat pembelajaran, membantu pelajar mengamalkan ajaran-ajaran Islam, memperbaiki perangai dan akhlak mereka, membantu pelajar dalam menilai dan menyerap nilai-nilai Islam serta membina rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Selain daripada itu, dalam kajian ini mendapati pengajaran guru-guru perempuan lebih berkesan daripada guru-guru lelaki (Maimun & Roslan 2005).
7.4 Peranan Pendidikan Islam, Guru dan Ibu bapa.
Seterusnya tinjauan berkenaan peranan Pendidikan Islam dan guru dalam beberapa perspektif dikenal pasti. Di antaranya Ismail Abas (2007) menjelaskan beberapa item yang menunjukkan peranan guru dalam menghadapi gagasan 2020 dari gagasan yang ketujuh. Di antaranya ialah peranan guru membina watak seseorang pelajar itu dan menjadi guru yang berkualiti. Kajian ini seterusnya menjelaskan bahawa guru seharusnya sedar dan peka terhadap amalan murid setelah pengetahuan diserap kepada pelajar. Kefahaman dari segi amalan perlu diterapkan secara serius sehingga pelajar itu betul-betul mahir (Abdul Halim Muhammady 1986).  Guru juga seharusnya sedar bahawa selepas waktu persekolahan murid akan berhadapan dengan masyarakat secara lebih luas dan tiada kawalan.
Seterusnya diteliti kajian mengenai peranan Pendidikan Islam dalam membentuk personaliti pelajar yang mencakupi aspek emosi, intelek, rohani dan jasmani seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kefahaman mengenai pengetahuan Pendidikan Islam adalah tinggi namun pelaksanaan nilai dalam kehidupan harian mereka adalah di tahap sederhana. Namun di antara faktor yang mempengaruhi amalan dan nilai yang diterapkan lebih menunjukkan pengaruh keluarga adalah memainkan peranan penting (Baharom et al. 2008).
Bertepatan dengan dapatan kajian di atas satu kajian yang dibuat oleh Sapora Sipon (2008)  iaitu menjelaskan berkenaan peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial remaja adalah paling penting. namun konflik yang terjadi di antara ibu bapa juga menjadi faktor utama. Akibatnya lahirlah beberapa kesan negatif kepada remaja yang membawa masalah sosial yang tinggi. Maka beberapa cadangan diberikan bagi menangani konflik tersebut seperti curahan kasih sayang yang secara menyeluruh, menyediakan suatu peruntukan masa yang cukup kepada mereka (remaja), didisplin, rasa hormat, didikan yang sempurna dan betul dan lain-lain.
Amla Salleh dan Abd. Aziz (2010) menjelaskan mengenai peranan bapa dalam mempengaruhi pembangunan sahsiah pelajar diperingkat remaja dari segi tanggungjawab ketua keluarga, pencapaian akademik pelajar dan juga pandangan pelajar bagaimana tahap komunikasi bapa dengan mereka. Seramai 468 pelajar digunakan dalam sampel kajian ini. Penggunaan model asuhan bapa digunakan sebagai asas pengukuran di dalam borang soal selidik.
7.5 Persepsi Pelajar dan Guru
Syed Najmuddin (2009) dalam Kajiannya telah menjelaskan persepsi pelajar terhadap kepimpinan guru Pendidikan Islam di MRSM. Penilaian tersebut terbahagi kepada beberapa perkara iaitu imej dan personaliti guru Pendidikan Islam, tahap pengajaran dan pembelajaran guru Pendidikan Islam, kepimpinan guru Pendidikan Islam serta bagaimana tahap kemahiran interaksi mereka dengan pelajar. 1011 orang pelajar terlibat di dalam kajian ini yang menggabungkan 10 buah MRSM diseluruh negara. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam adalah tinggi. Dan penilaian kepada seluruh aspek yang dinilai di atas adalah pada tahap yang tinggi.

Penilaian ini disokong dengan Kajian yang menjelaskan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam dalam pembangunan pendidikan mereka disekolah. Seramai 132 orang pelajar terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Pengkaji telah menggunakan kaedah analisis statistik deskriptif bentuk kekerapan, peratusan min bagi menilai tahap penilaian kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi pelajar adalah secara positifnya tinggi dan bagi mereka mata pelajaran Pendidikan Islam adalah suatu mata pelajaran yang penting (Othman 2008).
Seterusnya Azhar dan Nor Syakirah (2007) di dalam kajian mereka telah menjelaskan persepsi guru Pendidikan Islam terhadap tanggungjawab pelaksanaan etika profesion perguruan. Seramai 62 orang guru Pendidikan Islam di kawasan Johor Bahru terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengamalan etika ini adalah tinggi terhadap rakan sejawat dan seterusnya kepada ibu bapa, pelajar, masyarakat dan negara.
7.6 Konsep Pelaksanaan Proram j-QAF.
Beberapa kajian telah dibuat menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF di sekolah kebangsaan di seluruh negara. Kajian dibuat di atas dasar menguji tahap keberkesanan program tersebut serta mendapatkan pandangan dan persepsi jabatan pendidikan, guru, murid dan ibu bapa terhadap pelaksanaan program tersebut.
Rafidah (2009) telah membuat kajian dalam menjelaskan kaedah pelaksanaan j-QAF dan penguasaannya di Sk Seri Laksamana Masjid Tanah Melaka. 90 orang pelajar telah terlibat sebagai sampel kajian yagn diambil secara rawak berkelompok. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar berkaitan dengan pelaksanaan program j-QAF disekolah tersebut pada keseluruhannya adalah tinggi. Mereka juga dapat menguasai kemahiran yang di ajar pada tahap sederhana tinggi.
Seterusnya kajian berkaitan status pelaksanaan program j-QAF di institut perguruan juga dilaksanakan. Sampel terdiri daripada 834 orang guru j-QAF yang sedang mengikuti pengajian secara KDC, sedang berkhidmat di sekolah rendah seluruh negara dan 40 orang pensyarah j-QAF yang bertugas di institut perguruan. Hasil kajian menunjukkan pensyarah j-QAF menyatakan pemilihan guru j-QAF adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Modul yang dibekalkan dapat membantu pensyarah melaksanakan tugas pengajaran kepada guru j-QAF. Guru j-QAF harus mempertingkatkan komitmen mereka kerana min item yang berkaitan dengan kepatuhan terhadap tugasan, ketepatan masa dan penyempurnaan tugasan institut agak rendah, jangka masa kursus program j-QAF perlu disemak semula. Guru pelatih menyatakan terdapat tugas-tugas tambahan seperti guru ganti, menjaga kebersihan sekolah, menyediakan pentas bagi acara rasmi, mengawas disiplin murid, menceriakan bilik darjah dan menganggotai ahli jawatankuasa, namun tidaklah kerap sangat dilaksanakan (Ghazali 2007).
Kajian mengenai beberapa program dakwah j-QAF juga telah dilaksanakan dengan mengambil sebahagian dari program tersebut seperti Asmawati dan Lokman (2009) mengkaji mengenai keberkesanan pelaksanaan Kem Bestari Solat j-QAF yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia. Seramai 309 orang guru j-QAF di Selangor terlibat sebagai responden di dalam kajian ini. Secara keseluruhannya menunjukkan bahawa pelajar berminat mengikuti aktiviti Kem Bestari Solat ini dengan baik.
Fairus (2011) menjelaskan mengenai tahap pencapaian Literasi al-Quran pelajar yang melalui Program Khatam al-Quran j-QAF. Tahap kebolehan membaca al-Quran berdasarkan jantina juga dinilai dalam kajian ini berdasarkan skor markah yang diperolehi. Seramai 3443 pelajar telibat dalam kajian ini. Dapatan kajian 81% murid tahun enam telah menguasai bacaan al-Quran pada tahap memuaskan dan selebih menguasai mengikut bacaan guru. Namun 0.78% murid tidak dapat menghabiskan sukatan khatam al-Quran ini.







8.0 KERANGKA TEORITIKAL
Model program dakwah j-QAF adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Islam untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah terpuji sebagai hamba Allah. Program dakwah j-QAF merupakan satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam melalui modul khatam al-Quran dan Kem Bestari Solat bagi memantapkan akidah, ibadah dan akhlak dalam membentuk sahsiah terpuji dan dapat membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Proses pendidikan melalui program dakwah j-QAF ini dapat digambarkan seperti rajah berikut.


 











Rajah 1 : Model Program Dakwah j-QAF (Diubahsuai dari Falsafah Pendidikan Islam)


9.0 SIGNIFIKAN KAJIAN
Penemuan daripada hasil kajian ini diharapkan dapat menunjukkan tahap keberkesanan program j-QAF di Daerah Jerantut, Pahang. Pengkaji juga cuba untuk mengetahui persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF serta pegawai pelajaran daerah terhadap pelaksanaan program dakwah j-QAF di sekolah rendah. Dapatan dari persepsi ini juga dapat memberi maklumat kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF mengenai proses dakwah disekolah serta dapat menilai tahap pengajaran yang telah mereka laksanakan disekolah.
            Kajian ini seterusnya boleh memberi input yang sangat berguna kepada warga jabatan, khususnya Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sumber rujukan untuk mengislahkan program dakwah dalam Pendidikan Islam agar tahap keciciran pelajar Islam mengenai pengetahuan agama mencapai tahap “sifar cicir”.
10.0 KESIMPULAN
Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja umat Islam seluruh dunia semakin membimbangkan. Bertapa dahsyatnya pengaruh yang dibawa oleh musuh Islam terutamanya pengaruh media massa dari barat yang telah membawa satu budaya songsang menjelajahi negara umat Islam. Keadaan ini adalah disebabkan kelemahan umat Islam itu sendiri. Pengetahuan umat Islam yang terlalu lemah terutamanya pengetahuan agama Islam itu sendiri. Para ulamak dan cendikiawan Islam sedar sesungguhnya peranan pendidikan dalam gerakan dakwah Islam adalah pendekatan yang paling utama dan secara menyeluruhnya dakwah itu adalah pendidikan. Jesteru itu, pendidikan awal umat Islam adalah satu usaha yang sangat perlu diambil berat kerana ia merupakan pembentukan asas dan teras yang kukuh kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran global yang hanya mendidik manusia mengejar kepada kemajuan keduniaan semata-mata. Pengetahuan dan pengamalan solat amatlah penting kepada pembentukan jati diri yang teguh dalam kalangan kanak-kanak Islam. Begitu juga dengan kemahiran membaca al-Quran, sepatutnya tidak wujud umat Islam yang buta huruf dalam membaca al-Quran terutamanya manusia di zaman ini yang telah mempunyai pelbagai alat dan cara untuk memudahkan pengusaan al-Quran.

RUJUKAN
Al-Quran.
Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Azman Ajuhary. 2010. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berkesan Berteraskan Konsep Mu’allim. . Journal Of Islamic And Arabic Education 2(1), 43-56.
Adibah Mat Jusoh. 2008. Faktor Pendorong Penghayatan Agama Dalam Kalangan Pelajar Islam Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda Sains serta Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad Johari Sihes, Abdul Rahim Hamdan, Jamaluddin Ramli, Nor Salis Samingan. 2010. Pengaruh Pengetahuan Agama ke Atas Amalan Agama dan Gaya Hidup Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Amla Salleh, Zahara Aziz, Zuria Mahmud & Abd. Aziz Mahyuddin. 2010. Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2)(2010): 9-17.
Asmawati Suhid & Lukman Abdul Mutalib. 2009. Tinjauan Terhadap Pelaksanaan Kem Bestari Solat. Journal Of Islamic And Arabic Education 1(1) 15-28.
Aswati Hamzah. 2007. Satu Kajian Skema Taakulan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar Melayu. Tesis Dr. Fal, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia.
Azhar Ahmad & Ab. Halim Tamuri. 2005. Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah. Journal Of Islamic And Arabic Education.
Azhar Muhammad & Nor Syakirah Samsuni. 2010. Persepsi Guru Pendidikan Islam Terhadap Tanggungjawab Pelaksanaan Etika Profesion Perguruan. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Baharom Mohamad, Ali Suradin, Za’aba Helmi Khamisan. 2008. Peranan Pendidikan Islam Dan Pendidikan Moral Dalam Membina Sahsiah Pelajar Berkualiti. Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008 Universiti Teknologi Malaysia.
Chua, Yan Piaw. 2006. Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill (Malaysia) Sdn.Bhd.
Fairuz Samsudin. 2011. Tahap Pencapaian Murid-Murid Tahun Enam Dalam Modul Khatam Al-Quran j-QAF Satu Kajian Di Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Muda Yan. Tesis Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Bahasa, Universiti Terbuka Malaysia.
Ghazali Darusalam. 2007. Pelaksanaan Program j-QAF Mengikut Persepsi Pensyarah dan Pelajar. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor, Jilid 10, 2007.
Ismail Abas. 2007. Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran 2020. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor, Jilid 10, 2007.
Jaffary Awang, Rozmi Ismail, Kamaruddin Salleh, Hairunnizam Wahid. 2009. Sosialisasi Agama Di Kalangan Pelajar-Pelajar Sekolah Agama Di Selangor. Kumpulan Kajian Dunia Melayu & Islam Institut Alam dan tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Khalim zainal & wan zulkifli wan hassan. 2009. Pendekatan Islam Dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Satu Kajian Kes. Journal Of Islamic And Arabic Education 1(2) 2009, 1-14.
Maimun Aqsha Lubis & Roslan Aspar. 2005. Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam Di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan 30, 141-150.
Mohd Aderi Che Noh & Rohani Ahmad Tarmizi. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Amalan Pengajaran Tilawah Al-Quran. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1)(2009): 93 – 109.
Othman Napiah & Munada Mohamad Rodi. 2010. Persepsi Pelajar Sekolah Agama Terhadap Mata Pelajaran Pendidikan Islam : Kajian Di Sekolah Menengah Al-Amin Gombak. Selangor Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Rafidah Muhamad Noor. 2009. Kaedah Pelaksanaan Program j-QAF Dan Penguasaannya Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, Masjid Tanah, Melaka. Tesis Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam) Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Sapora Sipon. 1999. Peranan Ibu Bapa Dalam Menangani Masalah Sosial Remaja. Dlm. Peranan Psikologi Dalam Masyarakat Malaysia Semasa. Jabatan Kemajuan Negeri Cawangan Sabah.
Sarimah Mokhtar, Mohd Kashfi Mohd Jailani, Ab. Halim Tamuri, Kamarulzaman Abdul Ghani. 2011. Kajian Persepsi Penghayatan Akhlak Islam Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Diselangor. Gjat | December 2011 | Vol 1 Issue 1 Issn : 2232-0474 | E-Issn : 2232-0482.
Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab. Halim Tamuri, Isahak Othaman, Mohd. Sabri Mamat. 2009. Kajian Persepsi Pelajar Terhadap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam MRSM. Journal of Islamic and Arabic Education 1(2), 2009 31-50.
Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan. 2011. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal of Education Psychology & Counseling, volume 1 Mac 2011, Pages 115-140 / ISSN: 2231-735X.



MUSTIKA HADITH (MUQADDIMAH)

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA

Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
Hadis Kedua Puluh
20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama. 
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan
teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain. 
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan;  Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa,  memberi sewa,  mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis,  yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Hadis Kedua Puluh Satu
21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih;  - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya; atau "Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang (dengan kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu
agama.
2) Ilmu-ilmu yang
lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1) Ilmu-ilmu agama itu terbahagi dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi Asas. 
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis"
Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3)
Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan
pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan,  perindustrian,  pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa,  asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak dapat memberi pertolongan untuk memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir,  ilmu nujum (Astrologi) dan sebagainya.
Hadis Kedua Puluh Dua
22- عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini mengandungi:
(1)
Perintah belajar dan mengajar.
(2)
Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1) Perintah belajar dan mengajar:
Ilmu yang diperintahkan belajar dan mengajarnya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ini ialah:
Pertama - Segala ilmu
pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara
khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab suci,  kalam Allah yang wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan dan pengubahan, baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya, maka Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya belajar dan mengajar ilmu yang tersebut untuk mengesahkan benarnya apa yang dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr, yang bermaksud:  "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan Kamilah yang memeliharanya."
(2) Amaran tentang kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w. ialah yang menyampaikan ilmu-ilmu agama dan Baginda juga seorang manusia yang akan mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang disampaikannya, kerana dengan kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang,  sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti mengerjakannya pun akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak didapati orang yang boleh menyelesaikannya.
Hadis Kedua Puluh Tiga
23- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)
Hadis yang kedua puluh tiga ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama. 
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki
menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara,  iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan,  sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.
Hadis Kedua Puluh Empat
24- عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,  tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua puluh empat ini menerangkan: 
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan. 
(3) Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran. 
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama:
Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan: 
Pertama: - kerana mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki. 
Kedua - dengan ilmu agama ini juga Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama,  maka sudah tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan. 
Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki beroleh kebaikan,  disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan rohaninya.
(2) Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan: 
Sebagaimana yang sedia maklum, bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu, lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama,  itupun tidak cukup melainkan dengan adanya pertolongan dan limpah kurnia Allah memberikan orang itu persediaan untuk memahami makna dan maksud sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham dan pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya alim ulama yang menjadi waris Baginda untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang menerima penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W.  tetap terus menjalankan kebenaran. 
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.
Agama Islam yang demikian keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga datang perintah Allah `Azza wa Jalla mematikan sekalian orang yang beriman dan tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah" pun, maka pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari qiamat.
Hadis ini juga memberi semangat dan menjamin keselamatan orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan sempurna. 
Hadis Kedua Puluh Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)

25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan,  adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia,  lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
(Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan: 
Kelebihan orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan orang yang sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa
jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud: 
Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia,  ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman;  ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk,  kerana ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman.  Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan,  sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan,  bahkan ia seperti haiwan,  bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.
Hadis Kedua Puluh Enam
26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia,  nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara  yang menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan,  Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat,  juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan mengulangkaji kitab Allah. 
(4) Amalan seseorang sahajalah yang menentukan maju mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang mempunyai kuasa.  Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar,  amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan? 
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini. 
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama,  maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis,  bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat,  maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk,  maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat,  yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman. 
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat: 
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah. 
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak,  yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca,  menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut,  maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga. 
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat,  sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan,  dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah;  dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama. 
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih,  bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut berkata:  "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala menjawab:  "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal taat yang sempurna,  kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi pertolongan,  pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah! "

Friday, 6 January 2012

RANCANGAN PENGAJARAN TAHUNAN P. ISLAM TAHUN 2 (KSSR)

ANDA BOLEH DOWNLOAD RPT P.ISLAM THN 2 (KSSR) DENGAN KLIK DISINI
SEBELUM ITU SILA PASTIKAN LAPTOP ANDA MEMPUNYAI FONT JAWI UNTUK MEMBOLEHKAN FAIL ANDA DIBACA DENGAN SEMPURNA: FONT JAWI

Tuesday, 3 January 2012






DOWNLOAD RANCANGAN TAHUNAN TAHUN 4 DAN 5 PENDIDIKAN ISLAM DISINIl

CARA DOWNLOAD