Monday, 14 January 2013

HUKUM MENGHAFAZ AL-QURAN


114 surah, 30 juzuk, 604 muka surat dan 6236 ayat, itulah mushaf al-Quran yang ada pada tangan kita. ia merupakan satu-satunya kitab atau buku di dunia ini yang dihafaz secara keseluruhan. Inilah keistimewaan yang dikurniakan kepada al-Quran dan umat Nabi Muhammad SAW serta kepada penghafaz-penghafaz al-Quran. Ia merupakan satu nikmat yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Sekiranya dibandingkan dengan buku-buku lain yang sama tebal dengan saiznya, maka terlalu sukar dihafaz, bahkan tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa mustahil untuk dihafaz satu buku, setengah buku atau pun 1/4 daripada buku tersebut.






Terdapat banyak ayat al-Quran yang diturunkan, menggalakkan umat Islam untuk membaca dan menghafaznya. Bahkan disediakan bagi mereka ganjaran pahala yang terlalu lumayan kepada penghafaz al-Quran yang beramal dengannya. Namun tidak terdapat satu ayat yang secara jelas mewajibkan umat Islam menghafaz al-Quran secara keseluruhannya. Oleh yang demikian menghafaz al-Quran bukanlah sesuatu yang wajib ke atas SETIAP MUSLIM.

Walau bagaimanapun memandangkan betapa pentingnya menghafaz al-Quran demi menjamin keaslian dan keabsahan al-Quran ini, maka para ulama bersepakat untuk menyatakan bahawa menghafaz al-Quran itu hukumnya FARDHU KIFAYAH. Hal demikian dinyatakan oleh Imam Badr al-Din Muhammad bin 'Abdillah al-Zarkasyi di dalam kitabnyan (al-Burhan fi al-'Ulum al-Quran):

"Mempelajari al-Quran hukumnya adalah fardhu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya) maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat".




Demikian juga yang dipertahankan oleh Dr. Mustafa Murad di dalam (Kaifa Tahfaz al-Quran) :

    "Menghafaz al-Quran al-Karim adalah fardhu kifayah, ini bermakna apabila segolongan daripada kaum muslimin menghafaz al-Quran, maka gugurlah dosa terhadap kaum Muslin yang lainnya. Namun sekiranya tidak terdapat segolongan muslimin yang menghafaznya, maka diwajibkan ke atas setiap muslimin kesemuanya untuk menghafaznya".

Dalam kitab al-Itqan fi ulum al-Quran pula,  Imam Jalaluddin as-Sayuti bukan sahaja menyatakan pendiriannya, malah beliau turut membentangkan pendirian para ulama yang lain:" ketahuilah bahawa menghafaz al-Quran merupakan fardhu kifayah ke atas umat Islam.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Jurjani dalam (al-Syafi') dan (al-Ibadyy) serta yang alin-lainnya. Imam al-Juwaini berkata: "Ini bermakna hafazan al-Quran ini agar tidak terputus bilangan mutawatir pada al-Quran, maka tidaklah ia terjebak ke lembah penukaran dan penyelewengan al-Quran.

No comments:

Post a Comment