Sunday 4 November 2012

KITAB MUSTIKA HADITH

Makna Berselawat:
Makna berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w.  ialah berdoa memohon supaya Allah Taala melimpahkan rahmat menambahkan kemuliaan,  kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w
Maksud dan tujuan berselawat:
Maksud dan tujuan berselawat atas Nabi Muhammad ialah
(1) Mematuhi perintah Allah s.w.t yang tersebut dengan jelas iaitu di dalam ayat 56 Surah  Al-Ahzab yang menyuruh orang-orang yang beriman berselawat dan bertaslim kepada Nabinya, Muhammad s.a.w. 
(2) Menunaikan maksud yang terkandung pada sepotong dari ayat 77 Surah al-Qasas yang memerintahkan kita melakukan kebaikan dan kemurahan sebagai menghargai dan mensyukuri nikmat-nikmat ihsan pengurniaan-Nya kepada kita dan sememang maklum bahawa sebahagian yang terbesar daripada-nya ialah nikmat ihsan-Nya mengurniakan kita seorang Rasul yang teragung, Nabi Muhammad s.a.w.
(3) Mengenang budi dan jasa baik Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak putus-putus sekalipun Baginda s.a.w. telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh sebagaimana sabdanya s.a.w., pada hadis lbn Mas'ud yang diriwayatkan oleh al-Bazzaar yang bererti: "Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa sahaja amal yang aku dapati baik,  aku ucapkan: Alhamdulillah,  dan apa sahaja amal kamu yang aku dapati jahat,  aku :! memohon keampunan Allah untuk kamu."
(4) Mengamalkan kehendak hadis-hadis, yang maksudnya seperti berikut:
(a) Dan (b) hadis lbn Umar, r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud juga Nasa'i dan hadis Jabir r.a. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa. Sesiapa yang menerima budi orang, sama ada yang berupa harta benda, ilmu pengetahuan atau perkara lain maka orang yang menerima budi itu disuruh membalasnya dengan sebarang yang ada padanya, setidak-tidaknya dengan berdoa untuk orang yang berbuat budi itu seberapa banyak yang ia fikir berpadanan dengan budi yang Ia terima;  orang yang tidak berbuat demikian adalah orang yang kufurkan nikmat,  orang yang tidak mengenang budi
(c) Hadis Usamah bin Zaid, r.a. yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang menerima budi orang lalu ia setelah tidak berdaya hendak membalasnya - berkata kepada yang berbuat budi itu: `Tuhan jualah yang membalasmu dengan kebaikan di dunia dan akhirat', maka bererti ia telah membalas budi itu dengan sepenuhnya.
(d)Hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang tidak syukurkan dan tidak mengenangkan budi yang dibuat orang kepadanya adalah orang yang tidak menghargai dan tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment